Siri 2 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Perjuangan kemerdekaan sering kali dikaitkan dengan kesedaran nasionalisme – satu pemikiran yang tidak pernah timbul di alam Melayu sebelum kejatuhan Othmaniyah pada 1924. Memang diakui bahawa para ulamak, khususnya ulamak Pattani banyak bercakap soal kedaulatan orang Jawi atau Melayu semenjak 1830-an, tetapi agenda mereka bukan membina semangat kebangsaan Melayu atau nasionalisme Melayu, tetapi mengembalikan kedaulatan umat Islam di Nusantara yang ketika itu diwakili oleh orang Melayu. Melayu adalah Islam – itulah pemikiran yang telah lama berakar umbi dalam kerangka pemikiran orang Melayu sendiri. Atas asas ini para ulamak membangkitkan soal hak dan ketuanan Melayu dalam menghalau penjajah. Tetapi tidak bermakna sama sekali bahawa para ulamak mahukan orang Melayu menjadi satu bangsa yang tersendiri dan kebanggaan terhadap kebangsaannya. Ini ternyata apabila para ulamak mahukan orang-orang Melayu yang merdeka menjadi sebahagian daripada rakyat atau warga Othmaniyah yang diikat oleh sempadan aqidah – bukan sempadan negara-bangsa (nation-state).

Jika diteliti karya-karya ulamak tentang kehidupan bernegara, mereka membincangkan tentang tanggungjawab para pemerintah dalam karya-karya besar seperti Bustanus Salatin atau Tajus Salatin untuk menunjukkan bagaimana ketuanan Melayu harus tunduk kepada atauran yang dibuat oleh Khaliknya. Cuma, yang berbeza, karya-karya zaman Acheh dan Johor-Riau pada abad ke-17 memberikan penekanan kepada pertanggungjawaban pemerintah dan tidak menyentuh langsung tentang kewajipan menegakkan negara Islam. Ya! Sudah pasti ketika itu para ulamak mempunyai kefahaman bahawa sama ada kerajaan-kerajaan Melayu di Acheh atau Johor-Riau dan lain-lain semuanya adalah kerajaan Islam yang telah tunduk kepada hukum Allah, setidak-tidaknya para ulamak menerima kedudukan Othmaniyah di Istanbul atau Mughal di Delhi sebagai Khilafah Islam yang kerajaan-kerajaan Melayu bernaung di bawahnya. Maka ungkapan-ungkapan akademik mereka tentang soal kenegaraan memenuhi keperluan zaman Islam memerintah.

Memasuki abad ke-18 dan 19, generasi ulamak yang diketuai oleh Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani telah melihat bagaimana satu demi satu bumi Islam jatuh ke tangan penjajah kuffar dan mereka cuba memberikan tanggapan baru bahawa umat Islam wajib berjihad untuk membebaskan negara ini daripada pengaruh kuffar. Sheikh Abdul Samad al-Falembani pada 1772 misalnya telah mengirimkan surat kepada Hamengkubuwono I Mataram dan Susuhanan Prabu Jaka mengajak mereka mengulangi jihad para pemimpin terdahulu untuk menghalau Belanda dari Pulau Jawa. Beliau juga telah menghasilkan dua buah karya jihad iaitu “Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mukminina fi Fadhail al-Jihadi wa Karaamat al-Mujtahidina fi Sabilillah” (1772) dan “Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah” untuk meransang kesedaran jihad ke atas penjajah. Tidak cukup dengan itu, Sheikh Abdul Samad al-Falembani turut menyertai jihad ke atas di Kedah pada 1830-an yang berakhir dengan kesyahidan beliau.

Sheikh Daud al-Fathani, ulamak Melayu yang terkenal di Mekah telah menghasil beberapa karya yang cuba membentuk pemikiran umat Islam supaya bangkit berjihad ke atas penjajah kuffar. Tiga karyanya iaitu “Jum’ul Fawaid” (1824) dan “Tuhfatul Gharibin”, diikuti oleh kitab “Munyat Musalli” (1827) telah membincangkan tentang kewajipan berjihad ke atas penjajah. Kitab Munyat Musalli, sebuah kitab fiqh tentang sembahyang dijadikan saluran untuk menyampaikan pemikiran tentang jihad kepada orang-orang Melayu. Kitab himpunan fatwa Sheikh Daud al-Fathani, “Furu’ul Masail” (1838) telah menyatakan kewajipan berjihad ke atas penjajah untuk memerdekakan tanah air. Inilah satu gambaran yang dapat kita lihat bagaimana para ulamak berusaha untuk membentuk pemikiran orang-orang Melayu Islam supaya bangkit menentang penjajah melalui tulisan-tulisan mereka. Seperti juga Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Daud al-Fathani turut ‘turun’ ke Tanah Melayu untuk menyertai jihad ke atas Siam pada 1830-an. Jihad besar-besaran ini dipimpin oleh Sheikh Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya Tua) dan melibatkan hampir seluruh ulamak Pattani, Kedah, Kelantan dan Terengganu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini bermakna kerangka pemikiran anti panjajah yang dibina oleh ulamak mendapat tempat di hati umat Islam, dan yang lebih penting ulamak sendiri turun ke padang untuk bersama-sama dalam medan jihad, bukan sekadar di mata pena sahaja!

Dalam tempoh antara awa 1900 hingga zaman Jepun, orang-orang Melayu walaupun dikatakan telah mulai bangkit, tetapi pemikiran mereka terhadap kemerdekaan, khususnya yang berteraskan Islam masih kabur, khususnya yang berpusat di Singapura. Ketika ulamak di Pattani, Kelantan dan Kedah sudah agak ke hadapan dalam soal merdeka, orang Melayu di Negeri-negeri Melayu Bersekutu masih leka dengan pendekatan berlembut Inggeris. Kemunculan al-Imam pada 1906 telah memberikan suntikan baru kepada mereka tentang memahami makna kemerdekaan dan kebebasan berfikir. Al-Imam misalnya telah menolak pemikiran yang menyalahgunakan konsep ‘Qadak dan Qadar’ yang membiarkan diri mereka ditentukan oleh takdir secara pasif dan tidak mahu berusaha . Mereka juga menolak pemikiran yang jumud, tidak mahu berubah dan membiarkan diri mereka dalam kemunduran begitu lama. Pemikiran yang merangsang minda orang Melayu ini berkembang melalui pelbagai majalah yang diterbitkan oleh para ulamak dalam era ini seperti Neracha, al-Ikhwan, Saudara, Pengasuh dan lain-lain.

Pemikiran tentang Islam dan nasionalisme dalam konteks perjuangan kemerdekaan hanya dapat dilihat secara tersusun selepas Perang Dunia Kedua. Terdapat dua aliran nasionalis Islam yang dapat kita lihat dalam memperjuangkan kemerdekaan, pertama: aliran yang meletakkan kewajipan menegakkan negara yang berasaskan hukum Allah dalam mengisi kemerdekaan yang dipelopori oleh Maulana Abdullah Nuh, dan kedua: aliran yang mengangkat ketuanan Melayu sebagai asas negara Islam yang merdeka dokongan Dr Burhanuddin al-Helmy. Tetapi kedua-dua pemikiran mempunyai asas yang serupa iaitu Tanah melayu mesti dimerdekakan dan Islam mesti ditegakkan di atas runtuhan kuasa penjajah. Maulana Abdullah Nuh, seorang ulamak lulusan India telah bercakap soal politik kenegaraan atau dalam istilahnya “siasat madinah” semenjak 1939 dan memperkenalkan subjek ‘siyasah syar’iyah’ di pondok bagi membentuk kesedaran politik Islam di kalangan umat Islam. Selain aktif dalam kegiatan politik berpersatuan dan kepartian, Maulana Abdullah Nuh aktif berdakwah di Pasir Mas, Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu di Kelantan, iaitu empat tempat yang paling awal menerima perjuangan MATA, Hizbul Muslimin dan PAS di Kelantan.

Maulana Abdullah mendukung pendirian bahawa kerajaan di muka hanya milik orang Islam dan “sekali-kali tidak dipindahkan kepada yang lain daripadanya” , tetapi sekarang ini (1946) “telah terlu[n]cu[p] daripada tangan kaum Muslimin semua jenis Arab dan Ajam” . Maulana Abdullah menolak kemerdekaan atau pembinaan negara berasaskan bangsa yang menolak Islam seperti yang dilakukan oleh Kamal Attarturk di Turki. Kata beliau, “Ya! Turki berkerajaan sendiri tetapi hendaklah sama-sama kita faham kerajaan nampak yang ada itu kerajaan Islamkah atau kerajaan kaum bangsanya. Setahu dunia kerajaan Turki itu ialah kerajaan kaum bangsa dan nusa”. Tetapi disebalik sikap sinis beliau terhadap kerajaan kebangsaan yang tidak menjadi Islam sebagai asas negara seperti Turki, Maulana Abdullah Nuh mempersoalkan mengapa bangsa Melayu tidak memperjuangkan kemerdekaan bangsanya walhal orang Melayu mempunyai jumlah yang ramai. Kata beliau,

“Maka kerajaan itu di lain-lain bangsa lagi besar hampir semua bangsa di dalam dunia ini berkerajaan sendiri melainkan kaum-kaum bangsa Melayu sahaja yang tidak berkerajaan sendiri padahal mereka lebih banyak bilangan daripada setengah bangsa-bangsa yang berkuasa besar iaitu seratus million lebih. Turki 16 juta boleh berkerajaan sendiri” .

Maulana Abdullah Nuh berpendirian bahawa kepelbagaian kerajaan di atas muka dunia ini mesti menerima hukum al-Quran yang akan membentuk kerajaan yang satu iaitu kerajaan Islam . Pemikiran Maulana Abdullah Nuh tentang keperluan bangsa Melayu untuk merdeka dan memiliki kerajaan Islam sendiri selepas kejatuhan khalifah mempunyai persamaan dengan pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy, seorang profesor homeopathy lulusan PhD dalam bidang falsafah Islam dari Aligarh Muslim University, India. Dr Burhanuddin juga menolak pemikiran nasionalisme atau assobiyah yang bersifat sempit dan fanatik, sebaliknya mahukan nasionalisme yang berteraskan al-Quran dan Sunnah. “Dalam kita memperjuangkan kemerdekaan bangsa kita, kebangsaan Melayu sekarang, pedoman kita al-Quran, jalan kita Sirat al-Mustakim” . Beliau menekankan soal kemerdekaan yang dicapai akan dianggap bermakna sekiranya bangsa Melayu dapat menegakkan Islam, ungkap beliau,

“Dalam perjuangan kita bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci” .

Seperti sikap Maulana Abdullah Nuh terhadap Turki, Dr Burhanuddin al-Helmy juga mempunyai sikap yang hampir sama terhadap Umno yang dilihat tidak menegakkan Islam kerana yang mempunyai ciri-ciri taghut. Bagi beliau, umat Islam mesti berjuang untuk mengisi kemerdekaan dengan Islam. Katanya, “… kita tetap akan tegas bahawa umat Islam adalah diizinkan Tuhan untuk mempertahankan agama, diri dan masyarakat dari sebarang aliran taghut iaitu aliran yang cuba mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan yang cuba hendak menghalalkan barang yang haramkan oleh Allah” . Dalam memahami makna Islam dan kebangsaan, Dr Burhanuddin mempunyai pendekatan yang sangat menarik. “Kita pandang dari segi falsafah dan kita susunkan pemandangan yang dekat adalah begini:

(1) Iman (nyawa)
(2) Tubuh
(3) Bangsa
(4) Watan (tanah air)”

“Iman berdiri di atas tubuh. Tubuh berdiri di atas bangsa dan bangsa berdiri di atas watan. Salah satu daripada yang empat ini tiada boleh bercerai tinggal dalam binaannya tetapi watan jadi pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa. Kuat bangsa keluar dari tubuh diri yang sihat kuat dan perkasa seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan lain-lain. Maka dalam jiwa pekerja, pahlawan, perajuritnya terletaknya iman” .

Secara ringkasnya, kita mendapati bahawa perubahan pemikiran para ulamak telah berkembang daripada sekadar memperkatakan soal tugasan pemerintah ketika Islam berkuasa, kepada seruan jihad ketika Islam sedang diancam. Selepas kejatuhan Islam, para ulamak cuba membentuk satu kesedaran tentang kewajipan umat Islam berjihad menegakkan Negara Islam. Persoalan bangsa hanya dijadikan wasilah untuk membolehkan umat Islam menegakkan agamanya. Ulamak secara terang-terangan menolak perjuangan bangsa yang sempit tanpa dilandaskan kepada ajaran agama, sebaliknya perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan mesti bertitik tolak daripada ketaqwaan kepada Allah SWT. Bahkan bagi para ulamak, jika umat Islam mahu segala tuntutan agama Allah dapat dilaksanakan, mereka mesti berjuang mencari kemerdekaan sebenar iaitu kemerdekaan yang membolehkan Islam ditegakkan. Kata Dr Burhanuddin,

“… bagaimanakah kita akan mengembalikan agama kita, hingga agama dapat berjalan menurut yang dikehendaki Allah, jika kita belum bebas merdeka dan berdaulat? Tentu tidak boleh melainkan sudah bebas merdeka dan berdaulat” .

This entry was posted in Gerakan Islam di Tanah Melayu, PAS, Sebelum merdeka. Bookmark the permalink.

Leave a comment