Siri 1 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Siri 1 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Oleh : MOHD FADLI GHANI
Pengarah Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa

PENGENALAN

“Berapakah jiwa yang telah melayang di Filipina (kerana) menentang angkara Sepanyol, di Jawa, di Sumatera dan Celebes (Sulawesi) dengan Belanda. Begitu juga keadaan di Semenanjung (Tanah Melayu) kerana mempertahankan kehormatan dan rasa jiwa kebangsaan dan kemerdekaan bangsa dan nusa, tak mahu dan tak reda diperkosa dan diperhambakan”.
(Burhanuddin al-Helmy, Perjuangan Kita, 1980: 35)

Perjuangan kemerdekaan sering kali menjadi ‘milik’ Umno dan aristokrat Melayu yang pro-Barat. Nama-nama seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Dato’ Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab, Dato’ Hamzah, Dato’ Nik Ahmad Kamil dan yang seangkatan dengannya sering dikenang sebagai pejuang kemerdekaan. Kekaburan sejarah atau wujudnya ‘hidden history’ dalam memahami gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu banyak dicernakan oleh kegiatan jenayah akademik yang dilakukan oleh ‘sarjana dalam istana’ yang menulis untuk menggambarkan segala-galanya adalah hasil penat lelah perjuangan Umno. Walhal, sebelum kelahiran Umno pada 1946, ratusan nyawa telah syahid kerana mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara. Mereka mengambil sikap untuk tidak bersekongkol dengan bangsa yang menjajah dan mahu penjajah menyerahkan kembali ketuanan umat Islam kepada orang Melayu. Umno yang muncul pada penghujung cerita, telah mengambil pendekatan yang cabul, berkerjasama dengan British, berada di meja rundingan dengan menyetujui kemerdekaan tanpa daulat!

Perjuangan kemerdekaan telah dicanang oleh para ulamak 450 tahun dahulu dengan hasrat mahukan Islam menjadi asas pembinaan negara yang berdaulat. Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan hidup bernegara. Orang Melayu sebagai pemilik bumi Melayu diberikan hak ketuanannya yang penuh dalam semua aspek. Tetapi Umno telah menodai perjuangan para ulamak ini apabila mereka mengesyorkan kepada British supaya Islam hanya dijadikan agama ritual sahaja – bukan agama rasmi negara, al-Quran dan Sunnah dipaksa supaya tunduk kepada Perlembagaan Reid, hak-hak orang Melayu dicuaikan termasuk menyetujui supaya jus soli dijadikan asas kerakyatan, tulisan Jawi yang duhulu menjadi tulisan orang Melayu ditukar kepada Rumi, bahasa penjajah diangkat martabatnya. Pemimpin tertinggi Umno secara terbuka menafikan Tanah Melayu adalah negara Islam.

Kertas ini secara ringkas cuba memberikan konotasi baru terhadap perjuangan kemerdekaan negara dalam sudut yang berbeza. Walaupun gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu ini sekurang-kurangnya mempunyai tiga aliran iaitu seperti yang disebut oleh Roff (2000) iaitu i) aliran agama yang dipelopori oleh golongan berpendidikan Arab, ii) aliran kiri yang dipelopori golongan berpendidikan Melayu, dan iii) aliran kanan yang dipelopori oleh pentadbir yang berpendidikan Inggeris. Peranan golongan kanan terhadap kemerdekaan telah menjadi mainsteam dalam kajian-kajian akademik di negara ini, manakala peranan golongan kiri telah banyak disentuh seperti tulisan Roff (1967), Firdaus Abdullah (1985), Ramlah Adam (2004) dan Muhammad Saleh Lamry (2006). Kajian tentang peranan ulamak adalah yang paling sedikit dilakukan walaupun golongan inilah yang mendahului dua golongan di atas. Kajian ini selain memberikan pengenalan kepada gerakan para ulamak dalam perjuangan kemerdekaan, dan cuba menggalurkan peranan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam perjuangan menegakkan kemerdekaan negara.

II

Semenjak kejatuhan Melaka pada 24 Ogos 1511, Tanah Melayu mula berada pada zaman kemerosotan tamadun walaupun secara fizikalnya hanya bumi Melaka sahaja yang dijajah oleh Portugis. Kawasan-kawasan lain seluruh semenanjung kekal merdeka, setidak-tidaknya tunduk kepada kuasa politik Melayu Islam sendiri seperti Kerajaan Johor-Riau atau Acheh, bukannya dijajah oleh mana-mana kuasa kuffar atau bangsa asing seperti kuasa Kristian Barat atau Buddha Siam. Tetapi di sebalik kejatuhan Melaka itulah bermulanya kejatuhan negeri-negeri Melayu di utara bermula dengan penjajahan Siam ke atas Singgora (Songkhla) pada 1687 yang menjadi negeri Melayu pertama dijajah selepas kejatuhan Empayar Melaka. Kejatuhan Singgora telah mengancam kemerdekaan negeri-negeri Melayu di utara seperti Pattani, Yala, Setul, Nara, Raman, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Kerana bimbangkan ancaman Siam selepas jatuhnya Pattani pada 1786, Kedah telah menyerahkan Pulau Pinang kepada British pada tahun yang sama untuk mendapat perlindungan kuasa Barat itu.

Selain Melaka yang dikuasai Belanda semenjak 1641 iaitu selepas 130 tahun dikuasai Portugis, negeri-negeri Melayu yang lain jatuh ke tangan British secara berperingkat bermula dengan Seberang Perai pada 1800, diikuti oleh Perak pada 1874. Negeri terakhir jatuh ke tangan British ialah Terengganu yang menerima Penasihat British pada 1919. Selain faktor perebutan takhta dan pergolakan politik dalaman, ancaman Siam merupakan faktor penting penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Peranan Siam tidak boleh diabaikan dalam memahami perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu dan sehingga hari ini bumi Melayu yang dahulunya meliputi kawasan hingga ke Petchburi-Ratchburi, hanya beberapa kilometer di selatan Bangkok telah dijajah oleh Siam. Bahkan, Siam sangat bertanggungjawab ke atas kejatuhan Pulau Pinang dan Seberang Perai ke tangan British. Kemudian Siam mengadakan penjajian sulit dengan British untuk membolehkan mereka menguasai Setul, Yala, Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa pengetahuan Sultan-sultan Melayu.

Di sebalik kejatuhan negeri-negeri Melayu ke tangan penjajah kuffar ini, bangsa Melayu seolah-olah (digambarkan oleh sejarah versi kerajaan) tidak pernah menongkah penjajahan ini. Kalau ada yang diketengahkanpun, tokoh-tokoh aristokrat Melayu seperti Ngah Ibrahim, Dato’ Sagor, Tuanku Antah, Raja Mahadi dan lain-lain, itupun secara terpencil dan atas isu-isu ekonomi lokal,bukannya kerana mempertahankan kemerdekaan tanah air. Orang-orang Melayu tidak digambarkan sebagai bangsa yang berjuang untuk kepentingan dan kemerdekaan watan, sehinggalah munculnya Umno pada 1946. Dan Umnolah menjadi pihak ‘yang pertama’ memperjuangkan pembebasan atau kemerdekaan tanah air ini. Sedangkan, hakikat sebenarnya, Umno tidak pernah berjuang atau bercakap soal merdeka semenjak ia ditubuhkan sehinggalah penyokong-penyokong Dr Burhanuddin al-Helmy ‘terpaksa’ memasuki Umno pada 1951 selepas haramnya parti-parti kiri dan memberikan tekanan kepada Umno supaya bercakap soal merdeka. Slogan ‘Hidup Melayu’ Pemuda Umno ditukar kepada ‘Merdeka’ pada 1951 di atas desakan bekas-bekas ahli Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) melalui Pemuda Umno Kuala Pilah. Itupun, tindakan Pemuda Umno menggunakan ‘merdeka’ tidak direstui oleh pimpinan tertinggi Umno.

Satu hakikat yang mesti diakui oleh generasi baru pengkaji sejarah ialah peranan ulamak yang memperjuangkan kemerdekaan negara yang berlaku semenjak sebelum kejatuhan Melaka lagi sehinggalah kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jika kita meneliti secara objektif Sejarah Melayu, kita akan mendapati para ulamak berusaha keras untuk membentuk semangat jihad di kalangan tentera Melaka bagi mempertahankan bumi Islam. Hikayat Amir Hamzah yang dibacakan kepada tentera sebelum perperangan berlaku membuktikan proses pembinaan semangat jihad atas nama agama telah dibina oleh para ulamak di Melaka. Selepas Melaka jatuh, para ulamak yang merasakan ‘terhutang budi’ terhadap peranan Melaka meng-Islamkan Nusantara telah melancarkan siri-siri serangan jihad ke atas Portugis atas nama Islam. Pasukan tentera jihad yang dipimpin ulamak dari Demak, Ceribon, Jepara, Acheh, Naning, Rembau dan Johor telah silih berganti cuba menghalau Portugis. Bahkan, ulamak-ulamak Bugis yang berpengaruh di Riau turut menyerang Belanda di Melaka bagi membebaskan bumi Islam daripada kuasa kuffar itu.

Tanah Melayu walaupun kehilangan Melaka pada 1511 tetapi masih boleh bertahan sehingga 1786 kerana peranan yang dimainkan oleh para ulamak di Pattani. Pattani adalah pusat pendidikan Islam terunggul di Semenanjung Tanah Melayu selepas Melaka. Siam pernah mencuba untuk menyerang negeri Melayu seperti Pahang pada 1500 tetapi terhalang oleh Pattani. Dalam tempoh 1530-1564, Siam melancarkan 10 serangan ke atas negeri Pattani, tetapi Pattani dua kali menyerang balas pada 1563 dan Siam menyerang lagi pada 1603, 1634, 1671, 1679 dan 1709. Dan ketika kejatuhan Singgora pada 1687, Pattani membentengi Tanah Melayu selama beberapa ratus tahun. Siapakah sebenarnya di sebalik kekuatan Kerajaan Melayu Pattani dalam mempertahankan kemerdekaan bumi Melayu? Para ulamak yang bukan sahaja berpengaruh di kampus-kampus pondok, tetapi berpengaruh di istana dan memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan termasuk sebagai Wizarah al-Harb (Menteri Pertahanan) dan menjadi panglima perang. Satu contoh yang baik ialah Tok Bendang Daya Tua atau Sheikh Wan Mustafa al-Fathani merupakan Panglima Perang Pattani ketika peristiwa Musuh Pattani pada 1830-an. Jika ulamak-ulamak Pattani tidak berjihad menyekat kemaraan Siam, sudah pasti Tanah Melayu hingga ke Singapura akan jatuh ke tangan Siam sebelum kedatangan British seperti mana jatuhnya Tanah Melayu kepada Siam pada 1360.

III

Kesedaran para ulamak untuk memperjuangkan kemerdekaan negara telah berubah daripada pendekatan yang berbentuk jihad al-harbiyah kepada jihad organisasi kerana ketika itu umat Islam tidak mempunyai kekuatan menyusun tentera lebih-lebih lagi selepas istana-istana dikuasai oleh British. Gerakan yang berpusat di Mekah telah merencana gerakan kemerdekaan secara tersusun dengan kerjasama kerajaan Khalifah Othmaniyah Istanbul. Selain membentuk kesedaran politik Islam melalui media massan seperti al-Imam, Neracha, al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain serta pembangunan pendidikan di pondok dan madrasah, ulamak mula menerokai budaya kehidupan berorganisasi bagi menggerakkan perjuangan kemerdekaan. Sheikh Ahmad bin Mohammad Zain al-Fathani merupakan ulamak pertama membentuk organisasi kepada ulamak Melayu melalui penubuhan Jam’iyah al-Fathaniyah di Mekah pada 1873. Daripada jam’iyah (kelab) inilah orang-orang Melayu belajar berorganisasi kemudian melahirkan organisasi serupa di Tanah Melayu. Kelab yang pertama ditubuhkan oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani, Raja Ali Kelana ialah Jam’iyah Rusyidiyah pada 1880 di Pulau Penyengat, diikuti oleh Jam’iyah Khairiah pada 1900.

Jam’iyah Khairiah di Pulau Penyengat berkembang hingga ke Jakarta pada 1905 dan disebut oleh pengkaji barat sebagai asas kepada penubuhan Sarekat Islam Indonesia pada 1909. Selepas itu di Indonesia ditubuhkan Muhammadiyah dan Nahdatul Ulamak sebelum mereka bergabung di dalam Masyumi pada 1945 di Jogjakarta. Di Mesir, Jam’iyah Khairiyah Talabah al-Jawiyah ditubuhkan pada 1923 oleh murid Sheikh Ahmad al-Fathani dan mempunyai sumbangan yang besar terhadap nasionalisme Melayu. Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang terkenal di Kelantan, Tok Kenali telah menubuhkan Jam’iyah al-‘Asyriyyah di Kota Bharu pada 1920 dan menjadi asas kepada penubuhan Jabhah Ulamak ad-Diiniah Kelantan pada 1936. Akhbar Saudara yang dipimpin oleh Syed Sheikh al-Hadi, seorang murid Sheikh Ahmad al-Fathani dan bekas Setiausaha Jam’iyah Rusyidiyah telah menubuhkan kelab pembacanya pada 1934 yang dinamakan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM). PASPAM adalah pertubuhan pertama bertaraf nasional walaupun hanya sebagai persatuan bahasa Melayu, tetapi turut memainkan peranan politik di sebalik tabir. PASPAM mempunyai cawangan di Gunung Semanggol, Perak dan setiausaha cawangannya ialah Haji Ahmad Fuad Hassan, pengasas dan Yang Dipertua Agung PAS pertama.

Apa yang dapat kita fahami daripada perkembangan yang berlaku dalam gerakan ulamak melalui organisasi ini ialah kemahuan ulamak untuk mencari merdeka. Ulamak merasakan tidak betah bagi umat Islam terus-menerus bernaung di bawah penjajah kuffar dan ternyata mereka tidak henti-henti memperjuangkan kemerdekaan ini sama ada melalui jihad bersenjata ataupun usaha-usaha membangunkan minda umat Islam supaya mereka boleh bangkit memperjuangkan kemerdekaan. Generasi yang dilahirkan oleh institusi pondok dan madrasah pada awal 1900 telah menjadi pelopor gerakan kemerdekaan pada dekad 1930-an dan 1940-an. Mereka berada di depan pentas perjuangan untuk menyatakan hak ini. Nama-nama besar seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Sheikh Abu Bakar al-Baqir, Maulana Abdullah Nuh, Sheikh Abdullah Abbas Nasution, Abdul Kadir Adabi, As’ad Shukri Haji Muda, Abdul Rahim Kajai dan lain-lain semuanya merupakan generasi keluaran madrasah-madrasah yang didik untuk bangkit merampas kembali hak umat Islam di Tanah Melayu. Tidak dapat dinafikan langsung bahawa ulamaklah yang mempelopori gerakan kemerdekaan generasi demi generasi sehingga pecah Perang Dunia Kedua pada 1945.

Selepas Jepun menyerah kalah, para ulamak mengambil langkah menyokong PKMM, sebuah parti yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Tetapi usaha-usaha pihak tertentu untuk mengurangkan pengaruh agama dalam PKMM telah mendong Dr Burhanuddin al-Helmy menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 sebagai sayap agama PKMM. Melalui MATA inilah, Hizbul Muslimin ditubuhkan pada awal 1948 dengan dasar “Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat …” . Dengan dasar yang begitu jelas itu, Hizbul Muslimin ditekan oleh British sehingga menyebabkan parti itu lumpuh apabila pimpinan utamanya ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948. Ahli-ahli Hizbul Muslimin seperti Haji Ahmad Fuad, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Maliki, Sulaiman Palestin dan lain-lain mengambil pendirian untuk bergerak di bawah Umno. Bahagian Agama Umno yang ditubuhkan semenjak 1946 telah diaktifkan semula di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad. Tetapi Bahagian Agama Umno ternyata tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara dalam Umno termasuk soal hubungan Umno dengan British, sikap Umno terhadap isu Natrah dan tindakan Umno menganjurkan program maksiat seperti judi, fun fair dan kaberet telah menyebabkan para ulamak merasakan perlunya mereka memiliki parti sendiri. Daripada kesedaran inilah ulamak dalam Umno menubuhkan PAS pada 1951.

This entry was posted in Gerakan Islam di Tanah Melayu, PAS, Sebelum merdeka, Selepas merdeka. Bookmark the permalink.

Leave a comment