Siri 6 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Siri 6 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Oleh : MOHD FADLI GHANI
Pengarah Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa

Peralihan kepemimpinan PAS daripada Tuan Haji Ahmad Fuad, seorang penyokong Dato’ Onn kepada Dr Haji Abbas Alias, bekas ahli KMM telah mengubah sikap politik PAS dalam memperjuangkan kemerdekaan. Sebelum ini PAS mengambil langkah-langkah politik yang berbentuk kerjasama dengan British iaitu melalui rundingan. Penyertaan PAS dalam National Conference, National Convention dan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu menunjukkan PAS mengambil sikap bekerjasama atau berundingan dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan. Apabila Dr Haji Abbas Alias mengetuai PAS pada November 1953, PAS mulai memperlihatkan satu sikap yang lebih tegas dalam soal kemerdekaan. PAS tidak lagi bertolak ansur, lebih-lebih lagi apabila beberapa pandangan PAS berkaitan persiapan kemerdekaan ditolak oleh Umno dan National Convention. PAS mengambil sikap untuk tidak lagi bekerjasama dengan British dalam menuntut kemerdekaan yang berasaskan Islam.

Selepas keluar daripada National Conference pimpinan Dato’ Onn pada 26 September 1953, PAS cuba menyampaikan mesej merdekanya melalui National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman, tetapi ternyata gagal. Sikap Umno yang terlalu bertolak ansur dengan bangsa asing sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu Islam. PAS yang keluar daripada National Convention pada 25 Disember 1953 walau bagaimanapun mengambil sikap akan terus membuat kerjasama politik untuk “kemerdekaan Malaya”.
Apabila Tunku Abdul Rahman mula mendesak British untuk diadakan pilihan raya sebagai persiapan kemerdekaan pada 1954, PAS menyokong prinsip pilihan raya ini walaupun tidak membantah beberapa cadangan National Convention berkaitan perkara itu. Bahkan, TH Tan menyenaraikan PAS sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini. Dalam suasana politik yang semakin hangat itu, PAS pada awal 1955 bertindak menyertai Kongres Pemuda Melayu (KPM), satu kongres yang dikuasai oleh ahli-ahli politik kiri yang sebelum ini bergiat dalam PKMM dan parti-parti Melayu yang lain.

Perubahan pendirian politik PAS dari kanan ke kiri dapat dilihat apabila Mesyuarat Agung PAS pada 12-14 Ogos 1954 bersetuju untuk meminda perlembagaannnya bagi menyekat pimpinan PAS terlibat dengan Umno. PAS bersetuju supaya “Pegawai-pegawai Agung PAS hendaklah terdiri daripada orang-orang yang tidak menjadi pegawai atau ahli jawatankuasa di dalam mana-mana parti politik lain” , yang dengan sendirinya melepaskan PAS daripada pengaruh Umno serta membolehkan PAS bergerak secara bebas dalam memperjuangkan kemerdekaan. Kerana pendirian tegas PAS ini, beberapa pemimpin PAS seperti Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Maliki, Haji Abdullah Fahim, Haji Sulaiman Palestin, Haji Hussin Che Dol dan lain-lain memilih kekal bersama Umno dan meninggalkan PAS. Manakala beberapa ahli Umno seperti Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Zabidi Ali, Haji Mansur Hassan JP dan lain-lain kekal bersama PAS. Pendirian PAS pada 1954 ini sangat penting dalam sejarah perjuangan politik kemerdekaan kerana ia menjadi titik peralihan terhadap gerak kerja politik PAS.

Kongres Pemuda Melayu dan Barisan Kebangsaan Melayu

Pada November 1954, Semangat Pemuda Melayu, sebuah pertubuhan pemuda dari Pulau Pinang telah memutuskan untuk mengadakan Kongres Pemuda Melayu Se-Malaya setelah mendapat pandangan Dr Burhanuddin al-Helmy . Kongres ini kemudian diputuskan untuk diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 8-10 April 1955. Kongres ini pada asasnya telah menghimpunkan semula tokoh-tokoh kiri yang sebelum ini berselerak kerana parti mereka diharamkan oleh penjajah. 44 buah pertubuhan termasuk Parti Rakyat, PAS, Parti Negara, PMS serta bekas PKMM, API, PETA, GERAM telah menyertai kongres selama tiga hari ini yang dimulai dengan ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin politik termasuk Dato’ Onn (Parti Negara), Dr Haji Abbas (PAS), Ishak Haji Mohamed, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain. Umno telah membuat keputusan memulaukan kongres ini kerana “perjuangan umno dalam saat genting dan mempunyai tanggungan berat” . Mengikut agenda, kongres ini dibuka oleh YTM Raja Muda Selangor . Ketika kongres berlangsung, Dr Burhanuddin al-Helmy telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres.

PAS menyertai kongres ini dengan tujuan mencari satu dasar dan sikap tentang pilihan raya 1955 dengan menyatukan semua unsur politik Melayu kiri yang menolak beberapa asas pilihan raya yang cadangkan oleh Perikatan khususnya tentang hak mengundi jus soli. PAS diwakili oleh Ustaz Hassan Adli, Prof Zulkifli Mohamad dan Ustaz Zabidi Ali. Kongres ini sebenaarnya bertujuan untuk membincangkan bentuk kerajaan dan kedudukan politik orang Melayu dalam menghadapi kemerdekaan . Boleh dikatakan seluruh pertubuhan yang menyertai kongres ini menolak kerakyatan jus soli yang didukung oleh Umno . Firdaus Abdullah (1985) mengatakan “The Kongres Pemuda signified the reemergence of radical nationalist forces, once organized in API and MNP (PKMM)” . Dengan mendukung motto ‘Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu’, kongres ini bersetuju menerima resolusi berikut:

i. Membentuk satu negara Melayu dengan satu bahasa dan satu negeri dipanggil sebagai Melayu
ii. Menentang kehadiran pangkalan tentera asing di Tanah Melayu
iii. Menghantar wakil ke Persidangan Afro-Asia di Bandung
iv. Menolak prinsip kerakyatan jus soli kepada bangsa asing
v. Mendesak kerajaan menubuhkan satu lembaga mengkaji keadaan ekonomi yang tidak seimbang antara orang Melayu dengan bangsa lain
vi. Mendesak kerajaan memperuntukkan 50 peratus hak melombong bijih timah kepada orang Melayu dan memberi bantuan kepada pekebun kecil kelapa
vii. Mendesak diadakan skim pembangunan tanah bagi memberi tanah kepada orang Melayu
viii. Kerajaan Persekutuan didesak supaya melantik seorang menteri yang bertanggungjawab kepada soal agama Islam
ix. Sebuah badan pengembangan agama Islam patut ditubuhkan bagi tujuan menubuhkan sekolah, seperti yang dibuat oleh pendakyah Kristian yang menubuhkan sekolah Inggeris sebagai satu alat pengembangan agama Kristian dan pendidikan
x. Segala kewangan sekolah itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.

Asas tuntutan Kongres Pemuda Melayu ialah kemerdekaan segera, kedaulatan Melayu dan hak ketuanan Melayu serta negara Melayu. Pada akhir kongres ini, Kongres Pemuda Melayu telah bersetuju menubuhkan sebuah badan politik yang dinamakan Barisan Kebangsaan Melayu (BKM) untuk mewakili rakyat Tanah Melayu ke Persidangan Afro-Asia di Bandung pada bulan yang sama. BKM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin sebagai Pengerusi, Ishak Haji Mohamed (Naib Pengerusi), Abdul Wahab Majid (Setiausaha), Zulkifli Mohamed, Aminuddin Baki, Ali Haji Ahmad, Harun Aminurrashid dan Hassan Adli sebagai ahli-ahli jawatankuasa. Dr Burhanuddin kemudian dipilih mewakili BKM ke Persidangan Afro-Asia di Bandung bersama-sama A Samad Ismail (wakil PETIR Singapura) dan dr Ahmad Rahim (Kesatuan Melayu Singapura). Mereka bertiga bertindak sebagai pemerhati persidangan ini. Walaupun sekadar pemerhati, Dr Burhanuddin Berjaya meletakkan nama BKM sebaris dengan pertubuhan lain dari seluruh dunia apabila berita BKM turut disiarkan oleh akhbar-akhbar Indonesia.

Serentak dengan persidangan ini, Dr Burhanuddin telah mengambil kesempatan untuk berhubungan dengan tokoh nasionalis Melayu, Ibrahim Haji Yaakub dan beberapa pertubuhan kemerdekaan Tanah Melayu yang bergerak di Indonesia seperti Liga Kemerdekaan Malaya pimpinan Mohd Mustaza, Kesatuan Melaya Merdeka pimpinan Ibrahim Haji Yaakub dan Perikatan Pemuda Tanah Air Malaya di Seberang Laut pimpinan Rabib Randi. Menurut laporan Utusan Melayu, Dr Burhanuddin atas nama BKM bersama beberapa pertubuhan di Indonesia telah menubuhkan “Barisan Bersatu” untuk “menghapuskan Undang-undang Darurat di Malaya gunanya untuk mengembalikan keamanan di tanah air dan untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya yang penuh …” . Dr Burhanuddin juga berkesempatan menemui Presiden Sukarno untuk membincangkan rancangan kemerdekaan Tanah Melayu. Dr Burhanuddin kemudian menyerahkan memorandum kepada Persidangan Afro-Asia untuk mendesak British memerdekakan Tanah Melayu. Memorandum ini mendapat respon daripada Perdana Menteri India, Pandit Nehru. Menurut Dr Burhanuddin,

“Memorandum itu mendesak Persidangan Afro-Asia supaya membuat keputusan menuntut kerajaan British menubuhkan dengan segera satu lembaga untuk memandu kemerdekaan negeri-negeri yang terjajah dengan secepatnya mengikut anggaran dasar demokrasi. Persidangan itu juga diminta menubuhkan satu badan tetap untuk mengawasi sikap-sikap mengikis penjajahan” .

Kepulangan Dr Burhanuddin daripada Indonesia kemudian disambut sebagai wira oleh penduduk Tanah Melayu kerana usaha beliau memperjuangkan kemerdekaan negara. Satu rancangan menyambut Dr Burhanuddin dibuat oleh Kesatuan Melayu Singapura dengan nasihat Ahmad Ibrahim, peguam terkenal di Singapura yang menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS sejak 1953; Zulkifli Mohamed, Ahli Jawatankuasa Politik PAS dan A. Samad Ismail dari Utusan Melayu. Beberapa perhimpunan untuk mendengar laporan Dr Burhanuddin diadakan Singapura dan Kuala Lumpur. Dr Burhanuddin memberitahu, “Indonesia sokong kemerdekaan Malaya… parti-parti politik termasuk Masyumi memberikan sokongan moral terhadap perjuangan kemerdekaan Malaya” . Ternyata penyertaan BKM yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin dalam Persidangan Afro-Asia telah menggugat pengaruh Umno sehingga Tunku Abdul Rahman terpaksa menyindir ahli Umno yang menyokong gagasan kemerdekaan Dr Burhanuddin. “Siapa yang mahu ikut Dr burhanuddin, sila” , sindir Tunku Abdul Rahman.

Pilihanraya Umum 1955

Hasil usaha PAS bersama National Convention pada 1954, maka British telah bersetuju supaya pilihan raya diadakan pada 27 Julai 1955 iaitu satu tarikh di antara 1954 yang dicadangkan oleh National Convention dan 1956 cadangan National Conference. PAS pada 23 Januari 1955 telah membentuk Jawatankuasa Khas Pilihanraya dianggotai Dr Haji Abbas (Pengerusi), Abdul Hamid Sharif (Setiausaha), Cikgu Ahmad Awang, Abdullah Akin, Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman Yunus, Ustaz Abdul Wahab Nor, Ustaz Hassan Adli dan Haji Mansor JP (Ahli-ahli) untuk mengendalikan gerak kerja PAS dalam pilihan raya ini. Usaha yang terpenting ialah mendaftarkan PAS sebagai sebuah parti politik yang sah untuk membolehkan PAS bertanding dalam pilihan raya. Atas usaha Dr Haji Abbas, maka pada 31 Mei 1955 PAS telah didaftarkan . Pada mulanya ada cadangan supaya parti-parti kiri bertanding atas nama BKM, tetapi Dr Burhanuddin tidak mahu BKM terlibat dalam pilihan raya kerana “masa yang suntuk” dan kekurangan wang” . Walau bagaimanapun Dr Burhanuddin menyokong calon-calon kiri yang bertanding.

PAS kemudian mengambil keputusan menggunakan simbol “tangan terbuka” iaitu lima jari mewakili lima rukun Islam untuk pilihan raya ini. Satu manifesto yang bertajuk “Manifesto Persatuan Islam Se-Malaya” dan mengandungi lima perkara iaitu siasah, iktisad (ekonomi), ketenteraan, pelajaran dan pendidikan serta kebajikan dikemukakan kepada rakyat pada 30 April 1955. Manifesto ini dengan tegas menyatakan PAS akan “berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin” dan “berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan-peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan …” . Hasrat PAS untuk memperjuangkan kepentingan orang Islam melibatkan soal kerakyatan, kedaulatan Raja-raja Melayu dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan turut ditegas di samping soal pilihan raya penuh untuk persekutuan, negeri dan bandaran serta kebebasan beragama.

Dalam pilihan raya ini, PAS telah meletakkan 11 orang calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan iaitu masing-masing satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah, dua di Selangor dan masing-masing tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dindings), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan) . Semua calon PAS kecuali Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian) telah kalah dalam pilihan raya ini. 51 kerusi dimenangi oleh Perikatan (Umno, MCA dan MIC), manakala satu kerusi dimenangi oleh PAS. PAS kemudian meletakkan tiga calon di Kelantan, enam di Pahang, lima di Perlis, dua di Selangor dan empat di Perak untuk kerusi Dewan Undangan Negeri 1955. PAS memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Krian Barat menerusi Mohd Kamal Ahmad.

Rombongan Kemerdekaan ke London dan jus soli

Mesyuarat Agung PAS Keempat pada 26-28 Disember 1955 di Kota Bharu mencatat sejarah yang penting dalam perjuangan PAS menegakkan kemerdekaan negara. Pertamanya, PAS telah membuat keputusan tegas iaitu tidak membenarkan sama sekali ahlinya menjadi ahli mana-mana parti politik lain yang menyebabkan PAS dan Umno tidak mempunyai hubungan lagi. Kedua, Mesyuarat Agung ini telah mengambil pendirian merumuskan Ucapan Dasar Dr Haji Abbas dengan meletakkan bahawa Tanah Melayu mesti merdeka sebelum 1959; Melayu hendaklah menjadi kebangsaan Malaya merdeka; bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal; PAS memperingatkan rombongan kemerdekaan supaya tidak mengabaikan hak dan kedaulatan Melayu; ajaran Islam berasaskan al-Quran dan Sunnah menjadi menjadi panduan pemerintahan; dan PAS menyokong langkah menghapuskan jawatan Penasihat British . Dalam kata lain, PAS menyokong Rombongan Kemerdekaan ini dengan beberapa peringatan supaya hal-hal berkaitan kepentingan agama dan ketuanan Melayu tidak terjejas.

Pendirian PAS ini mempunyai hubungan dengan Rombongan Kemerdekaan ke London pada awal 1956 yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman. Rombongan Kemerdekaan yang dianggotai oleh wakil Perikatan dan wakil Raja-raja Melayu ini bertolak ke London pada 1 Januari 1956. Dalam perundingan yang beermula 18 Januari itu, rombongan ini telah mendesak British supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pada 8 Februari 1956, tuntutan kemerdekaan dipersetujui dan ditandatangani di London dengan meletakkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman dan rombongannya tiba di Melaka pada 20 Februari 1956 dan mengisytiharkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka pada hari tersebut. Tunku Abdul Rahman dalam perisytiharannya menyebutkan, “I declare that full independence for Federation of Malaya within the Commonwelth in accordance with the agreement concluded in London will be effected on 31 August 1957” .

Walaupun tuntutan kemerdekaan telah berjaya, PAS masih mempunyai beberapa perkara dalam menjamin hak-hak orang Melayu selepas merdeka terutama soal kerakyatan. Mesyuarat Agung di Kota Bharu ini turut membuat penegasan dalam soal ini di mana PAS mendesak “mengetatkan syarat penerimaan kerakyatan terhadap pemohon-pemohon bukan Melayu”, “melonggarkan penerimaan kerakyatan terhadap orang-orang Melayu yang berasal dari Kepulauan Melayu” dan “mengharamkan mereka yang tidak mempunyai kerakyatan dari mengambil bahagian di dalam urusan politik” . Pada 13-14 Januari 1956, PAS telah menubuhkan Jawatankuasa Politik PAS yang dianggotai oleh Dr Haji Abbas, Zulkifli Mohamed, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Ustaz Othman Abdullah dan Musi Ma Jinu yang kemudiannya menyerahkan memorandum 18 perkara kepada Pesuruhjaya Tinggi British dan Raja-raja Melayu untuk menolak kerakyatan jus soli pada 22 April 1956. Faktor utama memorandum ini dikemukakan ialah kerana tuntutan orang Cina dan India untuk mendapat hak kerakyatan, dan PAS mahu orang-orang Melayu membangkang tuntutan ini.

Memorandum Suruhanjaya Reid

Pada 14 Julai 1956, PAS telah mengemukakan memorandum 14 perkara kepada Suruhanjaya Reid sebagai cadangan-cadangan PAS berkaitan Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. PAS memberi penegasan tentang beberapa aspek dalam memorandum ini termasuk soal hak orang Melayu ke atas Tanah Melayu dan hak istimewanya, hak-hak politik orang bukan Melayu, dasar buka pintu, masalah jus soli, kerakyatan orang Melayu, kebudayaan Melayu, kedudukan bahasa Melayu, Islam sebagai agama rasmi, kerajaan Persekutuan, Parlimen, kedaulatan Raja-raja Melay dan beberapa perkara berkaitan kerakyatan dan kedudukan bekas Negeri Selat . Pendirian-pendirian PAS dalam memorandum kepada Suruhanjaya Reid ini menunjukkan bahawa PAS tidak mahu hak orang Melayu hilang begitu sahaja dan Islam mestilah menjadi asas negara yang merdeka. Ia juga menunjukkan penerimaan dan keterbukaan PAS dalam soal demokrasi apabila PAS menerima sistem Parlimen dan kerajaan Persekutuan.

PAS dalam menegaskan soal hak ketuanan Melayu PAS menekankan bahawa Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu yang terbukti dari segi sejarah dan undang-undang. PAS mendesak Suruhanjaya Reid menetapkan bahawa orang Melayu mempunyai hak mutlak ke atas Tanah Melayu, berkebangsaan dengan kebangsaan Melayu, berkebudayaan Melayu dan Islam menjadi agama rasmi. PAS menolak dasar jus soli dan mahukan seorang bangsa asing mesti tinggal di Tanah Melayu sekurang-kurangnya 15 tahun sebelum memohon kerakyatan. Walau bagaimanapun, Perikatan yang menyerahkan memorandum pada 12 September 1956 hanya menyerahkan kepada Raja untuk melindungi kepentingan Melayu. “The constitution should, therefore, provide that Yang di-Pertuan Besar should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malay” . Cadangan-cadangan PAS sebahagian besarnya ditolak oleh British, termasuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi, sebaliknya menerima cadangan Perikatan yang sekadar meletakkan “Islam sebagai agama Persekutuan” yang sama sekali berbeza implikasinya.

Dr Burhanuddin al-Helmy memimpin PAS

Perubahan sikap PAS daripada menyokong parti kanan seperti Umno dan IMP kepada perjuangan yang tidak bekerjasama dengan British telah menyebabkan dua tokoh besar politik negara, Zulkifli Mohamed dan Dr Burhanuddin al-Helmy menyertai PAS. Zulkifli Mohamed menyertai PAS pada 1955 di cawangan Kuala Lumpur kerana PAS mahu “menjalankan hukum-hukum Islam”. Dipercayai beliau menyertai PAS sebelum Kongres Pemuda Melayu dan kemudian menjadi calon PAS pada 1955, diikuti dengan perlantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Politik PAS pada awal 1956. Tetapi yang lebih penting lagi apabila Dr Burhanuddin bersetuju menyertai PAS pada 14 Disember 1956. Sebenarnya pada 23 April 1954, Dr Burhanuddin telah dilantik sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru sebelum menjadi ahli secara rasmi pada 1956. Proses penyertaan Dr Burhanuddin dalam PAS mendapat pelbagai reaksi daripada ahli-ahli PAS khususnya bagi mereka yang membimbangi sekiranya Dr Burhanuddin mendukung pemikiran kiri pro komunis. Tetapi hal ini tidak menjadi masalah kerana Dr Burhanuddin diketahui umum sebagai tokoh agama yang berpengaruh dalam politik Melayu.

Selepas menyertai PAS, Dr Burhanuddin dipilih oleh Mesyuarat Agung PAS Kelima pada 23-25 Disember 1956 sebagai Yang Dipertua Agung PAS menggantikan Dr Haji Abbas. Zulkifli Mohamed pula diangkat sebagai timbalan beliau. Dalam ucapan Dr Burhanuddin sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 25 Disember 1956, Dr Burhanuddin menegaskan bahawa PAS mesti bekerjasama dengan parti-parti nasionalis yang lain untuk memperjuangkan kemerdekaan “kerana adalah mustahil cita-cita ke-Islaman akan tercapai kalau kedaulatan dan kemerdekaan tanah air tidak tercapai dulu” dan “ rakyat Malaya perlulah disatukan dengan rakyat Indonesia” . Dr Burhanuddin juga membuat penegasan bahawa “… belum penuh (kemerdekaan) dan kedaulatan itu belum sempurna, perjuangan kita sebagai nasionalis belum berakhir, belum selesai” . PAS juga akan terus bekerjasama untuk memperjuangkan kemerdekaan dengan mana-mana parti politik “asal sahaja tujuan dan dasar parti itu tidak bertentangan dengan nasionalisme kita, nasionalisme anti kolonial”. Turut ditegaskan ialah kedudukan Islam sebagai asas perjuangan PAS di mana PAS “mempunyai keyakinan terhadap kekuatan ideologinya sendiri, terhadap kesucian dan kemuliaan ke-Islamannya” dan sanggup membawa “Islamisme terus menuju baldatun tayyibatun wa rabbun ghafuur” .

Mesyuarat Agung PAS Kelima ini kemudiannya memutuskan sikap PAS terhadap kemerdekaan. PAS mahu tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tidak akan dianjak, dan kemerdekaan yang dicapai ini hendaklah “kemerdekaan yang penuh berdaulat dan erti kata sebenar-benarnya”. Perlembagaan Reid yang dianggap oleh PAS sebagai tidak sempurna itu kemudian diputuskan “hendaklah disifatkan sebagai perlembagaan yang bertaraf sementara sahaja” dan “janganlah mencampuri tuntutan bagi mengubah ruba bangsa Melayu dan taraf kerakyatan Tanah Melayu asli dan menentang sekeras-kerasnya menerima kerakyatan yang berdasarkan jus soli” . Empat pendirian PAS ini jelas menunjukkan PAS mempunyai dua sikap, pertama, Tanah Melayu mesti merdeka dengan kemerdekaan yang berdaulat dengan segera; kedua, Perlembagaan Reid yang menjejaskan kedaulatan kemerdekaan itu ditolak oleh PAS.

Membantah Penyata Reid

Apabila Suruhanjaya Reid membentangkan Laporan Perlembagaan pada awal 1957, PAS telah membantah laporan ini yang dilihat merugikan orang Melayu. Cadangan-cadangan PAS berkaitan hak ketuanan Melayu, kerakyatan, kedudukan agama Islam dan beberapa yang lain tidak dilayan oleh Suruhanjaya Reid. Pada 2 Mei 1957, PAS telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas (Tertutup) di Kuala Lumpur untuk membincangkan Laporan Suruhanjaya Reid ini dan satu kertas bertajuk “Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Reid” dibentangkan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah berkaitan PAS terhadap laporan tersebut. PAS melahirkan rasa tidak puas hati kerana Perlembagaan Tanah Melayu digubal oleh penjajah, sedangkan sepatutnya “tiadalah dapat dibuat oleh orang lain daripada anggota dan rakyat negeri ini sendiri” . Bagi PAS, amat pelik sekali ketika Tanah Melayu berada di ambang merdeka, tiba-tiba bangsa lain dijemput untuk merangka perlembagaannya.

PAS menyentuh beberapa perkara berkaitan Laporan Reid ini terutama tentang kebangsaan Melayu, masalah kerakyatan, hak istimewa orang Melayu, ekonomi Melayu dan kedudukan agama Islam. Berkaitan kebangsaan Melayu, PAS melihat bahawa kerakyatan jus soli yang dicadangkan telah menggugat masa depan orang Melayu. “Suruhanjaya Reid ini hendaklah insaf bahawa negeri ini adalah sebuah negeri Melayu dan hak orang Melayu atas negeri ini …”. PAS juga beranggapan bahawa corak kerakyatan yang dikemukakan oleh Laporan Reid akan menyebabkan “negeri ini akan jatuh ke dalam petaka yang maha hebat”. “Bangsa Melayu hanya mempunyai satu kedudukan di dalam negeri ini dan kedudukan itu ialah bahawa, mereka itulah dan hak mutlak mereka itulah yang menjadi hak mutlak di dalam negeri ini”, tegas PAS berkaitan hak istimewa orang Melayu. PAS juga melahirkan kesalnya kerana kedudukan Islam tidak dapat diangkat sebagai agama rasmi. “Dengan hasutan2 daripada puak2 penjajah dan mereka2 yang tidak tahukan perlembagaan di dalam negeri ini, maka dikatakanlah bahawa agama Islam tidak dapat dirasmikan …” .

Kongres Kebangsaan Melayu Kedua

Penolakan PAS terhadap Laporan Reid telah membawa PAS menyertai Kongres Kebangsaan Melayu Kedua di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957. Kongres ini dikatakan ditaja oleh ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan cara Umno merundingkan kandungan Perlembagaan Tanah Melayu yang menyebabkan kepentingan bangsa Melayu terjejas. Mereka menolak kerakyatan jus soli yang dipersetujui oleh Umno atas desakan MCA dan MIC. Antara tokoh Umno yang menentang dasar ini ialah Dato’ Raja Abu Hanifah Ghani dari Negeri Sembilan dan Sheikh Yahya Ahmad, Ketua Umno Setapak.Sheikh Yahya Ahmad menyebutkan,

“Panitia Kongres Kebangsaan Melayu Kedua ini memandang berat kepada terpesongnya Umno dari landasan seperti yang telah ditegaskan oleh Yang Dipertua Agungnya itu … lebih-lebih lagi memandang berat kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Umno-MCA-MIC dan kepada kebanyakan syor-syor yang telah diterima oleh Suruhanjaya Reid adalah bertentangan dengan kepentingan orang Melayu” .

Beberapa pertubuhan politik seperti PAS, Parti Negara, Parti Rakyat, dan PMS di samping 22 pertubuhan dan 500 peserta telah menyertai kongres ini. Tokoh-tokoh politik seperti Dr Burhanuddin, Dato’ Onn dan Ahmad Boestamam menguasai kongres ini untuk mengkritik sikap Umno yang cuai dalam soal kepentingan bangsa Melayu Islam. Yang Dipertua Agung PAS dipilih mempengerusikan Kongres Kebangsaan Melayu Kedua, manakala Dato’ Onn sebagai Bendahari dan Ahmad Boestamam sebagai Setiausaha Kehormat. Beberapa pemimpin PAS turut hadir termasuk Ustaz Othman Abdullah dan Mohd Asri Muda. Walau bagaimanapun, PAS dan Parti Negara dikatakan mengusai kongres ini. Kongres ini memutuskan lima perkara utama sebagai dasar Tanah Melayu merdeka iaitu:

i. Bahawa Malaya merdeka akan dikenali sebagai Persekutuan Negeri-negeri Melayu
ii. Bahawa ia mempunyai satu kebangsaan yang tunggal, iaitu Melayu
iii. Bahawa ia akan mempunyai satu bahasa kebangsaan dan rasmi yang tunggal iaitu bahasa Melayu
iv. Bahawa ia mempunyai satu agama rasmi iaitu agama Islam
v. Bahawa ia akan memelihara wujudnya keistimewaan baka ketuanan Melayu sebagai tuan punya tanah air ini

Perkara pertama dan kelima adalah usul yang dikemukakan oleh PAS, manakala perkara kedua dan keempat dikemukakan oleh Parti Negara. Kemudian PAS membawa satu lagi usul iaitu “perlembagaan bagi Persekutuan Negeri-negeri Melayu yang merdeka dan berdaulat itu akan terus-menerus diperjuangkan dengan sepenuhnya oleh warga kongres ini dengan apa jua jalan yang halal dan damai hingga berhasil” . Wakil PAS kemudian diminta oleh kongres untuk menyediakan sebuah kertas kerja tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi dengan menegaakan “al-Quran dan Sunnah Rasul hendaklah menjadi pegangan dan pedoman kepada hidup umat Islam dalam Persekutuan Negeri-negeri Melayu” . Dr Burhanuddin dan Dato’ Onn kemudian diputuskan oleh kongres untuk menyerahkan resolusi ini kepada kerajaan Perikatan untuk dikemukakan kepada British. Walau, bagaimanapun Umno tidak melayan tuntutan ini kerana soal merdeka segera lebih penting daripada masalah jus soli bagi Umno.

Mesyuarat Agung PAS menjelang merdeka

PAS mengadakan Mesyuarat Agung Keenam pada 24-25 Ogos 1957, iaitu beberapa hari sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Dr Burhanuddin dalam ucapannya menegaskan “belum dihitungkan merdeka dengan sepenuhnya melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara” , dan ditegaskan juga bahawa “selagi umat Islam ini belum berpelembagaan dan menghukum bagaimana yang diturunkan Tuhan adalah mereka masih dipandang fasiq atau zalim”. Dr Burhanuddin kemudiannya mengatakan, “Pada pendirian PAS, tiap-tiap hokum yang tidak sesuai dengan al-Quran dan Sunnah adalah batal dan tidak sah, maka termasuklah perlembagaan negara yang tidak sesuai dengan al-Quran dan Sunnah adalah batal jua pada pandangan dan pendirian Islam ”. Dr Burhanuddin turut menjelaskan bahawa “saya dan PAS adalah berisi, bersifat dan berbau kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam” . Akhirnya PAS mengambil pendirian melalui ikrar semua perwakilan “untuk terus berjuang bagi mengisi kemerdekaan negara ini dengan hasrat kebangsaan Melayu yang penuh hingga terdirilah sebuah negara Islam di negara ini” .

Walaupun PAS sangat kecewa dengan tindakan Umno dalam mempertahankan hak ketuanan Melayu Islam dalam rangka kermerdekaan ini, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin bersama beberapa pemimpin PAS termasuk Ustaz Amaluddin Darus telah hadir di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 untuk menyaksikan majlis perisytiharan kemerdekaan ini. Dato’ Onn mengambil sikap yang berbeza, iaitu tidak menghadiri majlis tersebut kerana menolak merdeka tanpa ketuanan Melayu dan kedaulatan Islam .

This entry was posted in Gerakan Islam di Tanah Melayu, PAS, Sebelum merdeka, Selepas merdeka. Bookmark the permalink.

Leave a comment