Siri 5 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Siri 5 SOROTAN SEJARAH PAS DAN KEMERDEKAAN

Oleh : MOHD FADLI GHANI
Pengarah Arkib dan Perpustakaan Yusof Rawa

“Kitalah pemuda-pemuda (PAS) yang akan tampil ke hadapan memikul tanggungjawab yang berat itu. Kilah pemuda yang akan sanggup memberikan darah dan tulangnya untuk memperjuangkan kemerdekaan negara kita ini” .

Selepas setahun ditubuhkan, PAS telah mengambil langkah-langkah penting untuk menggerakkan kemerdekaan tanpa menghiraukan Umno yang dikatakan menjadi ‘induk’ kepada PAS. Sebenarnya Umno sendiri menolak PAS sebagai sebahagian daripada Umno ketika PAS bersidang di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 . Cuma ketika perbahasan tentang disiplin ahli PAS, dipersetujukan supaya ahli PAS dibenarkan untuk menganggotai parti lain. Desakan ini berpunca daripada beberapa ulamak yang menjadi Jawatankuasa Agung Umno hendak dilantik sebagai Jawatankuasa Agung PAS, tetapi pada 1954, ahli PAS tidak lagi dibenarkan menjadi ahli parti lain. Kerana itu, tempoh 14 bulan daripada tarikh penubuhannya itu, usaha-usaha untuk memperjuangkan kemerdekaan menjadi isu utama dalam PAS dan diterjemahkan dalam Mesyuarat Agung PAS Pertama pada 3 Januari 1953.

Program Politik PAS

Antara gerakan yang dibuat oleh PAS pada peringkat awal ialah merancang menuhkan Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera utama untuk menggerakkan usaha-usaha kemerdekaan. Menjelang Mesyuarat Agung Pertamanya, beberapa usul telah dikemukakan kepada PAS berkaitan kemerdekaan antaranya i) menubuhkan sayap Pemuda PAS, ii) melantik Jawatankuasa Khas untuk membincangkan rancangan kemerdekaan, dan iii) menggerakkan program politik PAS. Dewan Pemuda Islam telah ditubuhkan oleh PAS pada 23 April 1952 untuk mengatur pergerakan pemuda Islam diikuti oleh usul penubuhan Dewan Pemuda PAS pada 3 Januari 1953 dengan tujuan “melaksanakan cita-cita merdeka PAS” . Walau bagaimanapun, cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengatur hubungan dengan badan-badan politik dalam perjuangan kemerdekaan ditolak kerana ia telah disebut dalam Undang-undang Tubuh PAS . PAS kemudian mempersetujui cadangan Program Politik PAS yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Agung PAS yang mengandungi tujuh rancangan dengan empat daripadanya meletakkan sasaran perjuangan kemerdekaan. Empat program tersebut ialah:

i. Berusaha dengan kuat untuk memperkenalkan kepada rakyat jelata akan kemerdekaan yang tulen serta menanamkan ke dalam jiwa mereka semangat kemerdekaan itu sambil menunjukkan cara-cara mencapainya
ii. Mengatur dengan kemas Dewan Pemuda yang akan bekerja bagi melaksanakan cita-cita merdeka PAS
iii. Berikhtiar menegakkan sebuah negara yang merdeka yang didirikan oleh rakyat daripada rakyat kerana rakyat
iv. Mencadangkan kemerdekaan Malaya dalam lingkung Komanwel British

Empat program politik ini cukup jelas menunjukkan bahawa PAS mempunyai rancangan dan bergerak untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. “Kemerdekaan tulen” yang disebut oleh PAS ialah kemerdekaan yang berasaskan Islam seperti yang ditegaskan oleh Dr Burhanuddin. PAS menolak kemerdekaan tanpa daulat, tetapi kerana menyedari Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bakal merdeka dan masih lemah, maka PAS bersetuju supaya PAS merdeka dalam lingkungan Komanwel British.

National Conference

Selepas Umno berpecah dengan kumpulan Dato’ Onn yang membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), gerakan parti pro British menjadi dua kumpulan iaitu Umno dan IMP – kedua-duanya mula bercakap soal merdeka. Atas sokongan Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald, Dato’ Onn telah mengusahakan penubuhan National Conference iaitu pertubuhan gabungan parti pelbagai kaum bagi memperjuangkan kemerdekaan. Pada 12 Februari 1952, Sir Malcolm McDonald telah memanggil satu mesyuarat di King’s House, Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan National Conference sebagai sebuah parti gabungan. Antara pemimpin utama yang hadir ialah Dato’ Onn Jaafar daripada IMP, Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), H.S. Lee (MCA Selangor), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P. Narayanan (Malayan Trade Union Cooperation – MTUC). Umno menarik diri daripada pakatan ini. National Conference juga telah disertai oleh 16 orang kenamaan dari pelbagai kaum termasuk tujuh orang Menteri Besar. Dalam mesyuarat ini, Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda telah dilantik sebagai Pengerusi National Conference dan Datuk Nik Ahmad Kamil, Menteri Besar Kelantan sebagai Naib Pengerusi. Mereka berdua dengan dibantu oleh Yong Shook Lin telah diberi tugas merangka perlembagaan National Conference .

Pada akhir Februari 1953, mesyuarat kedua National Conference telah bersetuju membentuk sebuah gabungan parti-parti di bawah National Conference, tetapi tidak disokong oleh Dato’ Onn kerana IMP berpandangan ia tidak menyelesaikan masalah perkauman dan perbezaan pandangan parti-parti anggota akan melemahkan pakatan tersebut . Akhirnya pada 27 April 1953, National Conference telah ditubuhkan secara rasmi dalam Sidang Meja Bulat National Conference di Dewan Bandaran Kuala Lumpur sebagai sebuah gabungan politik dengan diketuai oleh Datuk Panglima Bukit Gantang. Dato’ Onn tidak memegang apa-apa jawatan. Antara parti yang menyertai National Conference ialah IMP, Malayan Ceylonese Association (MCA), MEA, MIC dan PAS. Pada 6 Mei 1953, mesyuarat Jawatankuasa National Conference di Kuala Lumpur telah melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference terdiri daripada Datuk Hamzah Abdullah (Menteri Besar Selangor) sebagai Pengerusi, Datuk E.E. Thuraisingam (Presiden Ceylonese) sebagai Timbalan Pengerusi, Yong Shook Ling (Presiden MCA Selangor) sebagai Setiausaha. Mesyuarat tersebut juga merundingkan tentang usaha menarik sokongan parti-parti politik lain terhadap National Conference .

Walaupun Dato’ Onn tidak memegang sebarang jawatan dalam National Conference, tetapi mempunyai pengaruh yang kuat terhadap National Conference kerana hubungannya yang rapat dengan Malcolm McDonald, peranan dan pengalamannya sebagai pentadbir khususnya sebagai Ahli Dalam Negeri dan bekas Menteri Besar Johor serta kedudukannya sebagai Setiausaha Agung IMP yang merupakan parti induk kepada MCA, MEA dan MIC. Tujuh orang Menteri Besar itu juga merupakan ahli-ahli IMP. Antara cadangan penting Dato’ Onn yang menjadi tuntutan utama National Conference ialah tarikh pilihan raya pada 1956 dan 90 orang ahli Majlis Undangan Persekutuan dipilih melalui pilihan raya . Pada 28 Mei 1953, National Conference juga membuat keputusan untuk menolak pilihan raya jika diadakan pada 1954 atas alasan Tanah Melayu belum bersedia, pilihan raya negeri-negeri belum diadakan dan pilihan raya bandaran belum menyeluruh lagi, sebaliknya mencadangkan pilihan raya diadakan pada 1956. National Conference pada 21 Julai 1953 pula mencadangkan beberapa pindaan terhadap Majlis Undangan Persekutuan termasuk cadangan menambahkan ahli-ahli tidak rasmi, menentukan bilangan ahli bagi mewakili setiap negeri mengikut bilangan penduduk dan mewujudkan jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli .

Pengaruh National Conference walau bagaimanapun mulai tergugat pada akhir 1953 ekoran beberapa faktor, antaranya tindakan Perikatan Umno-MCA menubuhkan National Convention pada Ogos 1953, pergeseran dengan MIC dengan IMP semenjak Mei 1953, diikuti oleh penarikan diri daripada National Conference oleh PAS pada September 1953 dan MIC pada Oktober 1953 . Perpecahan yang dialami oleh National Conference ini sangat memberi kesan terhadap peranan National Conference dalam menuntut kemerdekaan negara, khususnya tuntutan untuk mengadakan pilihan raya pada 1956 serta reformasi terhadap Majlis Undangan Persekutuan. Ia turut memberi dampak kepada usaha Dato’ Onn untuk mewujudkan perpaduan antara kaum sama ada menerusi IMP mahupun National Conference. Sedangkan pada masa yang sama, National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman telah berjaya meyakinkan British untuk mengadakan pilihan raya pada 1955. Perpecahan National Conference ini juga telah menyebabkan runtuhnya pengaruh IMP sehingga memaksa Dato’ Onn mengisytiharkan penubuhan Parti Negara (PN) dalam mesyuarat terakhir NC pada Februari 1954.

Ketika cadangan penubuhan National Conference dibuat oleh Sir Malcolm Mc Donald pada Februari 1953, PAS tidak dilibatkan mungkin kerana PAS adalah parti yang baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengaruh berbanding IMP, Umno, MCA atau MTUC. Walau bagaimanapun, beberapa faktor semasa ketika itu telah mendesak National Conference untuk menjemput PAS menyertai National Conference. Antara faktor yang penting ialah tindakan Umno pimpinan Tunku Abdul Rahman yang menarik diri daripada National Conference sehingga menyebabkan tidak ada parti Melayu dalam National Conference. Tambahan pula, Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan adalah sekutu rapat Dato’ Onn dalam Umno sebelum perpecahan Umno pada 1951. National Conference juga menghadapi masalah ekoran semua anggota gabungannya adalah parti-parti gabungan IMP sehingga menampakkan seolah-olah IMP dan National Conference adalah dua pertubuhan yang sama tetapi berlainan nama. Lebih-lebih lagi, sokongan pelbagai pihak amat penting bagi National Conference untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka.

PAS sendiri melihat bahawa penglibatan dalam National Conference adalah satu tanggungjawab yang penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan tindakan parti tertentu yang memboikot National Conference adalah kerana salah faham . Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang menyifatkan penyertaan PAS dalam National Conference adalah bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak tergelincir daripada asas tersebut, memperjuangkan Islam dan tidak meminggirkan hak-hak umat Melayu Islam . Beliau juga menegaskan bahawa PAS hanya menuntut kemerdekaan berasaskan kedaulatan Islam dan tidak ada kemerdekaan tanpa mengikut cara Islam . Ini bermakna penyertaan PAS dalam National Conference adalah berasaskan keyakinan bahawa pakatan tersebut boleh digunakan sebagai saluran untuk menegakkan negara Islam selepas mencapai kemerdekaan.

Bertolak daripada pelbagai faktor ini, PAS telah menerima jemputan untuk menyertai National Conference daripada Datuk Panglima Bukit Gantang pada 30 Mac 1953. Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju untuk menyertai National Conference berasaskan beberapa sebab, antaranya untuk menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan bersatu dengan semua pihak untuk menuntut kemerdekaan . Yang lebih penting bagi PAS, penglibatan bersama National Conference boleh membuka jalan kerjasama dengan orang bukan Islam yang dilihat menjadi faktor penentu yang penting terhadap usaha PAS untuk menegakkan negara Islam . Menurut Safie Ibrahim, penyertaan PAS dalam National Conference turut dipengaruhi oleh hubungan rapat antara Tuan Haji Ahmad Fuad dan Dato’ Onn Jaafar . Kerana itulah PAS ditegur supaya ulama tidak menjadi ‘alat penjajah’ atau dengan mudah terpengaruh oleh tujuh orang Menteri Besar yang rata-rata pro-penjajah .

Walau bagaimanapun, penyertaan PAS dalam National Conference hanyalah semata-mata untuk memenuhi objektif perjuangan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam bagi mengisi kemerdekaan. PAS sekali-kali tidak terikat untuk terus bekerjasama dengan National Conference atau mendukung keputusan National Conference jika ia bercanggah dengan pendirian PAS . Menurut Tuan Haji Ahmad Fuad, sebarang keputusan National Conference tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh menarik diri daripada National Conference jika resolusinya bertentangan dengan dasar perjuangan PAS . Dengan persetujuan PAS menyertai National Conference pada 6 April 1953, ini bermakna PAS adalah satu-satunya parti Melayu yang terlibat dalam pakatan ini. PAS diwakili oleh Yang Dipertua Agungnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Mohammad Hanif . Sepanjang penglibatan PAS dalam National Conference, PAS menyertai empat kali mesyuarat NC termasuk Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, selain mesyuarat pada 6 Mei 1953, 28 Mei 1953 dan 21 Jun 1953. PAS tidak menghadiri mesyuarat terakhir bersama National Conference pada 12 Julai 1953 kerana Pejabat Agung PAS dikunjungi oleh Pendaftar Pertubuhan .

Ekoran penglibatan PAS dalam Sidang Meja Bulat National Conference pada 27 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa National Conference. PAS menyertai persidangan pertama National Conference pada 6 Mei 1953 dan telah menerima keputusan persidangan untuk melantik Jawatankuasa Tadbir National Conference yang dipengerusikan oleh Datuk Hamzah Abdullah. Persidangan tersebut juga telah membincangkan pendekatan-pendekatan yang sesuai untuk menarik lebih banyak pertubuhan politik bagi menganggotai National Conference. Untuk meningkatkan penglibatan PAS terhadap National Conference, Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah merangka satu garis kasar tentang ‘Perlembagaan Malaya’ untuk dibawa ke National Conference pada 28 Mei 1953 . Perlembagaan Malaya yang dikemukakan oleh PAS ini mengandungi lima perkara utama iaitu nama perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, corak kerajaan dan kerakyatan .

Dalam persidangan kedua National Conference di Kuala Lumpur pada 28 Mei 1953, PAS telah bersetuju supaya pilihan raya bagi melantik ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan tidak diadakan pada 1954, sebaliknya diadakan pada 1956. Dua sebab utama yang disetujui oleh National Conference untuk menolak pilihan raya pada 1954 iaitu, i) pilihan raya tidak mungkin dapat dijalankan pada 1954 kerana tidak ada sebarang persediaan yang dibuat; dan ii) semua negeri masih belum mengadakan pilihan raya bagi Majlis Mesyuarat Negeri dan pilihan raya Majlis Mesyuarat Bandaran juga belum diadakan secara menyeluruh di Tanah Melayu . PAS juga bersetuju supaya Datuk Thuraisingam mewakili National Conference bagi perundingan dengan Perikatan Umno-MCA untuk menyelaraskan tuntutan pilihan raya ini . Dalam persidangan kedua ini juga PAS telah mengemukakan cadangan Perlembagaan Malaya untuk dijadikan garis asas bagi pembentukan sebuah negara yang merdeka.

Pada 21 Jun 1953, persidangan ketiga National Conference telah diadakan di Kuala Lumpur yang turut disertai oleh PAS untuk membincangkan secara khusus tentang kedudukan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Persidangan ketiga ini telah memutuskan tiga resolusi penting tentang Majlis Undangan Persekutuan iaitu menambahkan bilangan ahli-ahli tidak rasmi dalam Majlis Undangan Persekutuan. Menurut Ramlah Adam, Dato’ Onn telah mencadangkan jumlah ahli tidak rasmi yang dilantik ditambah menjadi 90 orang . Kedua, diwujudkan jawatan-jawatan timbalan menteri dalam Sistem Ahli yang diamalkan bagi membolehkan kerja-kerja pentadbiran dijalankan dengan lebih lancar, selain membuka ruang yang lebih luas kepada penduduk Tanah Melayu terlibat dengan pentadbiran negara. Ketiga, dicadangkan supaya jumlah ahli-ahli yang mewakili negeri-negeri dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan ditentukan mengikut jumlah penduduk yang telah mendapat kerakyatan .

Perlembagaan Tanah Melayu

Penglibatan PAS dalam National Conference telah berjaya membuahkan satu gagasan besar PAS tentang konsep negara yang diperjuangkan oleh parti Islam itu bagi mengisi kemerdekaan. Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Mei 1953 telah merangka garis-garis besar tentang bentuk negara Tanah Melayu pada masa akan datang melalui satu kerangka yang dinamakan sebagai ‘Perlembagaan Malaya’. Cadangan kasar perlembagaan ini dirangka untuk dikemukakan kepada National Conference sebagai satu konsep dan prinsip asas PAS dalam merundingkan kemerdekaan negara. Seperti yang dipertegaskan oleh Tuan Haji Ahmad Fuad, bahawa PAS tidak terikat dan boleh berkecuali daripada National Conference sekiranya keputusan National Conference bercanggah dengan prinsip-prinsip asas yang telah digariskan oleh PAS, maka Perlembagaan Malaya ini menjadi asas prinsip tersebut. Perlembagaan Malaya ini menjadi panduan dalam membuat keputusan-keputusan sepanjang penglibatan PAS bersama National Conference dan juga National Convention tajaan Umno-MCA.

Perlembagaan Malaya pada dasar mempunyai lima perkara utama iaitu nama perlembagaan, agama rasmi, bahasa rasmi, corak kerajaan dan kerakyatan . PAS telah memutuskan bahawa perlembagaan tersebut hendaklah dinamakan sebagai ‘Perlembagaan Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu’ atau ‘The Constitution of the Federation of Malay Peninsula’. PAS menolak nama Malaya dimasukkan dalam nama perlembagaan kerana perkataan Malaya berbau kolonial, sedangkan perkataan Semenanjung Tanah Melayu adalah nama asal yang sesuai pada bunyi, makna dan isinya . Perkara kedua ialah tentang agama rasmi negara. PAS telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi seluruh Persekutuan dan Islam menjadi dasar negara. Pentadbiran agama Islam hendaklah dipusatkan dengan diwujudkan satu kementerian khas bagi soal-soal agama Islam . Perkara ini sesuai dengan keyakinan dan tujuan PAS untuk menegakkan syariat Islam di negara ini .

Ketiga, bahasa rasmi bagi Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu adalah Bahasa Melayu, manakala bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua untuk tempoh sementara. Bahasa Melayu sebagai bahasa anak negeri dan telah diterima oleh rakyat sebagai bahasa pengantar, maka ia harus menjadi bahasa negara. Bahasa Inggeris pula menjadi bahasa kedua dalam tempoh tertentu bagi mengatasi beberapa kesulitan dalam tempoh peralihan . Perkara keempat ialah tentang corak kerajaan yang akan diamalkan di negara ini iaitu sebuah kerajaan bersekutu (federal) yang mengamalkan demokrasi, memiliki dewan perwakilan rakyat sebagai majlis tertinggi sekali dan menjalankan pentadbiran awam melalui penubuhan kementerian-kementerian. Semua anggota dewan perwakilan rakyat dan dewan mesyuarat negeri hendaklah dipilih dan dilantik oleh rakyat. Sebuah jemaah menteri (kabinet) yang bertanggungjawab kepada dewan perwakilan perlu didirikan untuk menjalankan pentadbiran awam .

Perkara terakhir ialah tentang kerakyatan negara ini. PAS telah bersetuju supaya kerakyatan negara ini berasaskan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada. Ini bermakna asas kerakyatan yang diamalkan boleh dijalankan terus setelah negara baru dibentuk . Mengikut Undang-undang Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Pindaan 1952) yang dikuatkuasakan pada 15 September 1952 iaitu selepas didesak oleh bangsa-bangsa asing, rakyat Tanah Melayu adalah seperti berikut:

i. rakyat Raja-raja Melayu sebagai mana yang ditetapkan oleh undang-undang kerakyatan masing-masing;
ii. rakyat British apa juga bangsanya yang dilahirkan dalam Persekutuan dan salah seorang daripada ibu bapanya telah dilahirkan dalam Persekutuan;
iii. rakyat British yang apa juga bangsanya yang dilahirkan di mana juga, a) jika dia dilahirkan sebelum tarikh berkuatkuasanya undang-undang ini bapanya telah lahir di Pulau Pinang atau Melaka dan pada masa dia lahir bapanya telah tinggal dalam Persekutuan genap 15 tahun, b) jika dia dilahirkan pada atau selepas 12 September 1952, bapanya dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan mempunyai kerakyatan Persekutuan;
iv. rakyat British apa juga bangsa bapanya yang telah dilahirkan di mana juga jika masa dia dilahirkan itu bapanya rakyat Persekutuan;
v. mereka telah menjadi rakyat Persekutuan di bawah undang-undang Persekutuan Tanah Melayu dahulu daripada tarikh 15 September 1952; dan
vi. mereka yang telah mendapat sijil kerakyatan British di Pulau Pinang atau Melaka menurut Undang-undang British 1948 dan, a) telah tinggal di Melaka atau Pulau Pinang 10 tahun daripada 12 tahun sebelum memohon kerakyatan British, b) telah tinggal di negeri-negeri itu genap 12 tahun tidak putus-putus sebelum tarikh mereka memohon kerakyatan British tersebut, dan c) telah mengangkat sumpah kerakyatan di Pulau Pinang atau Melaka .

Bagi orang asing yang ingin memohon kerakyatan pula mesti memenuhi syarat-syarat berikut; i) mereka mesti rakyat British, ii) berumur 18 tahun ke atas, iii) telah tinggal dalam Persekutuan genap 10 tahun daripada 12 tahun sebelum permohonan, iv) telah tinggal dalam Persekutuan genap 12 tahun tidak putus-putus hingga tarikh permohonan, v) berkelakuan baik, vi) boleh bercakap Bahasa Melayu atau Inggeris, vii) membuat pengakuan tinggal tetap dalam Persekutuan, dan viii) mengangkat sumpah setia kepada Persekutuan . Ini bermakna PAS telah menerima kerakyatan pelbagai kaum yang ada di negara ini, dengan tidak meminggirkan mana-mana bangsa keturunan dalam soal hak kerakyatan. Tetapi PAS menolak kerakyatan berasaskan prinsip Jus Soli, iaitu kerakyatan berasaskan tempat kelahiran yang dicadangkan oleh Umno-MCA pada 1953 .

Secara umumnya, Perlembagaan Malaya yang diusulkan oleh PAS ini sangat jelas memperlihatkan keterbukaan PAS terhadap sistem pemerintahan moden dan juga kerakyatan pelbagai kaum. Di samping mempertahankan hak ketuanan Melayu terhadap Tanah Melayu dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara, PAS mengakui kerakyatan bangsa asing yang ada di negara ini. Sistem demokrasi berparlimen, pilihan raya dan pentadbiran berkementerian juga diterima sebagai asas kepada pemerintahan negara. Yang paling penting, Perlembagaan Malaya telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi yang mesti menjadi dasar negara. Ini selaras dengan penegasan hasrat PAS untuk menegakkan negara Islam pada hari penubuhannya oleh Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan .

Mengapa PAS keluar National Conference?

Penubuhan National Conference secara tidak langsung memberikan persaingan yang kuat kepada Perikatan Umno-MCA dalam memperjuangkan kemerdekaan negara, khususnya tuntutan diadakan pilihan raya umum dengan segera. Walaupun PAS telah terlibat dengan National Conference, tetapi pengaruh Umno dalam Jawatankuasa Agung PAS sangat kuat sehingga wujud usaha untuk membawa PAS menyertai National Convention tajaan Umno-MCA. Apabila Umno-MCA mencadangkan penubuhan National Convention pada pertengahan 1953, mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS pada 26 Julai 1953 telah bersetuju menyertai National Convention jika dijemput oleh Umno-MCA . PAS yang kemudiannya menerima jemputan daripada Umno-MCA untuk menyertai National Convention , telah hadir dalam persidangan pertama National Convention di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1953 .

Penglibatan PAS dalam kedua-dua gabungan politik ini menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli. Menurut Amaluddin Darus, kewujudan penyokong Dato’ Onn pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad dan penyokong Tunku Abdul Rahman pimpinan Tuan Haji Ahmad Badawi dalam PAS menjadi punca berbangkitnya isu sama ada PAS harus menyertai National Conference atau National Convention . Dalam Mesyuarat Agung PAS Kedua pada 26 Ogos 1953, PAS Cawangan Hilir Perak telah mempersoalkan perlantikan Tuan Haji Ahmad Fuad sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference tanpa persetujuan Mesyuarat Agung PAS. PAS Cawangan Bukit Besar pula mempersoalkan keputusan PAS menyertai National Conference. PAS Hilir Perak juga mempertikaikan perlantikan Mohammad Hanif sebagai Ahli Jawatankuasa National Convention seperti yang dilaporkan oleh akhbar sedangkan mesyuarat Jawatankusa Agung PAS memutuskan tidak boleh menerima perlantikan dalam National Convention .

Untuk menyelesaikan persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh perwakilan tentang penglibatan PAS dalam kedua-dua pakatan politik ini, Mesyuarat Agung PAS telah bersetuju dengan usul PAS Cawangan Hilir Perak yang mencadangkan supaya semua penglibatan PAS dalam perkara-peraka besar terutama melibatkan politik negara dan rakyat hendaklah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Khas PAS . Ekoran daripada keputusan Mesyuarat Agung PAS Kedua ini, Jawatankuasa Agung PAS dalam mesyuaratnya pada 11 September 1953 telah mengkaji Penyata National Conference dan menetapkan sikap PAS terhadap National Convention. Mesyuarat ini kemudiannya bersetuju supaya keputusan diserahkan kepada Mesyuarat Agung Khas PAS yang akan diadakan pada 26 September 1953 .

Pada 26 September 1953, Mesyuarat Agung Khas PAS yang dihadiri oleh 13 Cawangan PAS telah membincangkan pendirian PAS terhadap kedua-dua gabungan politik ini . Menurut Amaluddin Darus, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Haji Ahmad Fuad dalam ucapan pembukaannya telah memberikan penekanan tentang mengapa PAS perlu bersama National Conference . Utusan Melayu melaporkan Tuan Haji Ahmad Fuad sebagai berkata bahawa PAS tidak boleh berada dalam kedua-dua pakatan yang berbeza dan bercanggah pendirian. PAS juga memerlukan satu pakatan pelbagai kaum seperti National Conference untuk memperjuangkan kemerdekaan, dan PAS menyertai National Conference adalah berasaskan keputusan Jawatankuasa Agung PAS pada April 1953 berdasarkan Undang-undang Tubuh PAS yang membenarkan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang tidak bercanggah dengan polisi PAS .

Pandangan Tuan Haji Ahmad Fuad telah disanggah oleh perwakilan daripada PAS Cawangan Pasir Mas, Ustaz Amaluddin Darus yang menegaskan bahawa tujuan asas PAS menyertai kedua-dua pakatan ini adalah untuk mencapai kemerdekaan, tetapi terdapat perbezaan perjuangan di antara kedua-duanya. National Conference yang diperalatkan oleh Sir Malcolm McDonald memperjuangkan ‘self government’ manakala National Convention memperjuangkan pilihan raya dan kemerdekaan segera. Sedangkan PAS dan rakyat memerlukan kemerdekaan segera seperti yang diperjuangkan oleh National Convention, kerana itu beliau mencadangkan supaya PAS menyokong National Convention tetapi tidak ikut serta dalam perhimpunan anjuran Tunku Abdul Rahman tersebut . Dua penyokong Tunku Abdul Rahman, Tuan Haji Ahmad Badawi dan Tuan Haji Ahmad Maliki sebaliknya meminda usul ini dengan mencadangkan supaya PAS menyokong dan menyertai National Convention. Kecuali beberapa Ahli Jawatankuasa Agung PAS serta PAS Cawangan Rembau dan Kuala Lumpur yang menyokong Tuan Haji Ahmad Fuad, semua ahli Mesyuarat Agung Khas PAS telah bersetuju dengan usul Pasir Mas yang dipinda oleh Tuan Haji Ahmad Badawi yang berbunyi,

“Bahawa majlis Mesyuarat Agung Khas yang bersidang pada hari ini mempersetujui PAS menyokong dan bekerjasama dengan Perhimpunan Kebangsaan (National Convention) anjuran Umno-MCA, tetapi tidak terikat sekiranya ada perkara-perkara yang tidak sesuai dengan PAS dan tidak setuju PAS menyokong kepada Persidangan Kebangsaan (National Conference) anjuran 16 orang terkemuka termasuk tujuh Menteri Besar” .

Dengan keputusan Masyuarat Agung Khas PAS ini, bererti penglibatan PAS dalam National Conference telah berakhir . Ini juga bermakna mulai 26 September 1953, PAS telah menarik diri daripada National Conference dan tidak lagi menganggotai Jawatankuasa Kerja National Conference . Walau bagaimanapun, menurut Amaluddin Darus, Tuan Haji Ahmad Fuad sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference telah ke Kuala Lumpur selepas Mesyuarat Agung Khas itu untuk menyertai mesyuarat National Conference . Kedudukan Tuan Haji Ahmad Fuad sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference dengan sedirinya bertukar sifat daripada mewakili PAS kepada mewakili dirinya sendiri .

Keputusan Mesyuarat Agung Khas ini telah memberikan kesan yang besar kepada PAS bukan sahaja terhadap penglibatan dalam National Conference dan National Convention, tetapi juga kepada kepemimpinan parti. Sebaik sahaja Mesyuarat Agung Khas PAS membuat keputusan menyokong National Convention, Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Haji Ahmad Fuad telah meletakkan jawatan dan menarik diri daripada PAS kerana membantah keputusan tersebut . Menurut Amaluddin Darus, Tuan Haji Ahmad Fuad tidak dapat menerima keputusan ‘driver-driver tidak berlesen’ kerana beliau adalah ‘driver yang mempunyai lesen’ . Semasa menyampaikan ucapan penutup, Tuan Haji Ahmad Fuad telah menegaskan,

“… apa yang saya katakan dan apa yang saya telah bawa persatuan ini di [sic] masa-masa yang lampau adalah sebagai pelan dan pendapat saya yang saya berasa wajib bagi menyelamatkan persatuan ini, saya hanya dapat menyerahkan segenap tenaga dan ikhtiar usaha saya bagi menjalankan persatuan ini tatkala saya pandang dasar kerja itu sesuai dengan pendapat dan pelan saya, maka jika berlawanan tentu mustahil seseorang itu dapat menjalankannya, mustahil bagi saya dapat menjalankan bahtera persatuan ini jika pelan-pelannya itu berlawanan dengan pelan saya dan jalannya itu masih gelap bagi saya, yang demikian saya terpaksa meletakkan jawatan saya sebagai Yang Dipertua Agung PAS” .

Terdapat tiga sebab asas mengapa PAS membuat keputusan untuk berkecuali daripada National Conference iaitu kerana mempertahankan dasar Islam, memperjuangkan kemerdekaan segera dan tidak mahu diperalatkan oleh mana-mana pihak. Penegasan PAS terhadap dasar Islam ini dapat dilihat daripada ucapan wakil Pasir Mas, Ustaz Amaluddin Darus yang tidak mahu PAS terpengaruh dengan mana-mana pihak yang tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah termasuk Umno dan IMP. Bagi wakil Pasir Mas itu, sebagai parti Islam, PAS tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak yang berbeza cita-cita perjuangannya . Mesyuarat Agung Khas PAS itu juga mahukan satu perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan termasuk pilihan raya yang segera. Mereka tidak boleh berlengah dalam menuntut kemerdekaan. Oleh kerana National Convention mencadangkan supaya pilihan raya diadakan pada 1954 sebagai persediaan kemerdekaan, sedangkan National Conference mencadangkan pilihan raya pada 1956 sebagai persedian berkerajaan sendiri, maka PAS menolak National Conference.

PAS juga mengambil sikap menolak National Conference kerana tidak mahu diperalatkan oleh mana-mana pihak khususnya Sir Malcolm McDonald yang mengasaskan National Conference. Amaluddin Darus menyifatkan Malcolm McDonald sebagai ‘sedang memainkan jarum yang halus’ menerusi National Conference . PAS juga menolak kerjasama dengan National Convention pada asalnya kerana tidak mahu diperalatkan oleh Umno-MCA yang tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, selain turut pro penjajah. Bagi wakil Pasir Mas itu, membawa masuk PAS ke dalam National Convention samalah dengan membawa PAS menyertai National Conference. Tetapi PAS telah menerima cadangan Tuan Haji Ahmad Badawi setelah memasukkan pindaan ‘… tidak terikat sekiranya ada perkara-perkara yang tidak sesuai dengan PAS’.

Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu

Tindakan IMP menganjurkan National Conference pada April 1953 telah mencabar pengaruh Umno yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Umno mula mengambil beberapa langkah untuk menyaingi pengaruh IMP yang disokong oleh British. Sebagai satu langkah awal, Umno cuba menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh negara untuk membincangkan soal tuntutan pilihan raya. Pada 14 Ogos 1953, Umno menganjurkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu di Johor Bahru dengan menjemput semua pertubuhan politik dan bukan politik orang Melayu termasuk PAS. PAS menyertai persidangan anjuran Umno ini untuk bersama-sama membentuk persepakatan pertubuhan-pertubuhan Melayu bagi menuntut pilihan raya diadakan pada 1954 sebagai persediaan kemerdekaan. PAS diwakili oleh Yang Dipertua Agung, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Agungnya, Mohamed Hanif.

Persidangan yang disertai oleh Umno, PAS, Persatuan Melayu Semenanjung (PEMAS) (A), Persatuan Melayu Semenanjung (PEMAS) (B), Gabungan Persekutuan Pemuda Melayu Kelantan (GPPMK), Persekutuan Persetian Melayu Kelantan (PPMK), Kesatuan Melayu Singapura (KMS), Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ), Kesatuan Melayu Johor (KMJ), Malay Graduate Association (MGA) ini sebenarnya gagal merumuskan sesuatu yang berkesan untuk politik Tanah Melayu kerana Umno sendiri tidak mendapat sokongan padu ketika itu ekoran perpecahan dengan Dato’ Onn . Akhirnya, persidangan ini sekadar menjadi medan untuk parti-parti politik termasuk PAS memberikan pandangan tentang keperluan dan cadangan tarikh pilihan raya tanpa sebarang resolusi dibuat. Ia boleh dikatakan percubaan awal Umno untuk menyaingi pengaruh IMP dan Dato’ Onn di kalangan orang Melayu. Bagi Umno sendiripun, persidangan ini hanya sekadar ‘pemanas badan’ untuk menguji pengaruhnya di kalangan orang setelah Tunku Abdul Rahman menyatakan cadangannya untuk menganjurkan National Convention pada 23 Ogos 1953.

National Convention

Setelah Umno menolak National Conference kerana tidak mahu pengaruh Dato’ Onn kembali berakar dalam parti itu, Umno berusaha untuk menyaingi National Conference dengan mencadangkan sebuah pertubuhan lain yang hampir serupa dengan pertubuhan itu. PAS menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Umno kerana ia bertujuan untuk menuntut kemerdekaan negara. PAS juga menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan pertubuhan baru ini jika ia memberi manfaat kepada usaha menghalau penjajah dari Tanah Melayu. Yang Dipertua Agung PAS membuat kenyataan tentang pendirian PAS terhadap cadangan Umno ini, “PAS akan bersedia menyertai di dalam badan tersebut (National Convention) selagi PAS berpendapat bahawa segala tindakan yang diambil itu akan berkesan bagi mencapai kemerdekaan Malaya dan berjaya bagi menegakkan sebuah negara demokrasi” . Sikap terbuka PAS ini jelas menggambarkan bahawa PAS sebagai sebuah parti baru bersedia untuk duduk semeja sama ada dengan kumpulan Dato’ Onn atau kumpulan Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan.

Atas kesedaran ini, pada 26 Jun 1953, PAS bersetuju untuk hadir dalam National Convention jika dijemput oleh Umno. Pada 23 Ogos 1953, PAS menyertai National Convention dengan diwakili oleh Tuan Haji Ahmad Fuad dan Mohamad Hanif . Perikatan Umno-MCA telah menjemput 13 pertubuhan menyertai National Convention iaitu Pan Malayan Labour Party (PMLP), MIC, Malayan Indian Association (MIA), Federation of Indian Organisations (FIO), Malayan Indian Born Association (MCBA), Straits Chinese British Association (SCBA), Eurasian Association of Malaya, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS), IMP, PAS, Malayan Association (MI), Ceylonese Federation (CF) dan Sinhanes Association. Tetapi hanya Umno, MCA, PMS, PAS, Persetian Melaku Kelantan (PMK), PMLP dan Selangor Rent Payers’ Association (SRCA) yang hadir dengan dipengarusikan oleh Tunku Abdul Rahman . Dalam persidangan pada 23 Ogos 1953, Mohamad Hanif dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Convention tetapi beliau menolak perlantikan ini kerana PAS memutuskan wakilnya “tidak boleh menerima sebarang lantikan” dalam National Convention.

Tujuan National Conventioan ialah memperjuangkan pilihan raya segera ke arah membentuk kerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan. National Convention kemudian memutuskan satu perisytiharan bahawa “Kami wakil-wakil pertubuhan siasah yang demokratik di Tanah Melayu, dengan ini mengisytiharkan bahawa kami akan berusaha bagi mencapai dengan perlembagaan dan damai sebuah negara merdeka lagi berdaulat di dalam lingkungan British Komanwel iaitu mengandungi semua negeri Melayu dan Settlements yang pada mana ini terkenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai langkah untuk mencapai tujuan tersebut maka kami dengan ini menuntut supaya diadakan pilihan raya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah melayu dalam tahun 1954” . Tentang pemilihan tahun 1954 ini (National Conference memilih 1956), Setiausaha National Conference, T.H Tan menjelaskan, “We dicided on 1954 as a target-date (for election) because, by 31 January of that year, the life of the existing Federal Legislative Council would end and with it the life of the new Council would begin. The moment was therefore opportune to seek the election of new members on democratic lines” .

Sebuah Jawatankuasa Khas National Convention untuk merundingkan tentang pilihan raya ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah menggariskan beberapa cadangan asas untuk pilihan raya yang dicadang selewat-lewatnya pada November 1954. Selain perisytiharan yang menepati dasar-dasar PAS tentang kemerdekaan ini, beberapa perkara lain turut dipersetujukan. Antara perkara utama yang dipersetujukan oleh PAS dalam National Convention ialah:

i. menuntut kemerdekaan secara berperlembagaan meliputi semua negeri Melayu termasuk negeri-negeri Selat
ii. menuntut satu pilihan raya federal yang segera diadakan pada 1954 oleh British sebagai satu persiapan untuk berkerajaan sendiri dan mencapai kemerdekaan
iii. dasar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka antaranya, i. Mendirikan, menaungi dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan sendiri yang bercorak demokrasi dan bertanggungjawab; ii. Mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua-ketua negara yang berperlembagaan; iii. Mendiri, menaungi dan mempertahankan kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan menyatakan fikiran dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan; dan iv. Menimbang, menyesuaikan dan mendamaikan tuntutan-tuntuan yang bertelingkah daripada kaum-kaum dan puak-puak serta memelihara hak-hak minoriti.

Penyertaan PAS dalam National Convention dan National Conference serentak ini telah menimbulkan persoalan di kalangan ahli-ahli PAS sehingga mereka mendesak diadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi memutuskan pendirian PAS. Jawatankuasa Kerja Agung PAS kemudian bersetuju mengadakan Mesyuarat Agung Khas di Tanah Liat pada 26 September 1953. Mesyuarat ini kemudiannya memutuskan supaya PAS menyertai National Convention tajaan Umno-MCA sehingga menyebabkan Yang Dipertua Agungnya meletakkan jawatan. Selepas itu, kepemimpinan PAS diambil alih oleh Dr Haji Abbas Alias sebagai pemangku. Dr Haji Abbas Alias sebagai bekas tahanan politik British pada 1940 mempunyai sikap yang tegas terhadap hak ketuanan Melayu terutama soal kerakyatan jus soli. PAS menerima jemputan untuk mesyuarat National Convention kedua pada 11 Oktober 1953 dan PAS pada 8 Oktober 1953 telah memutuskan empat perkara tambahan kepada Perlembagaan Malaya (yang diputuskan pada 26 Mei 1953) untuk dikemukakan ke dalam National Convention iaitu:

i. hak mengundi hanya untuk rakyat Raja-raja Melayu dan rakyat Persekutuan sahaja dengan menolak hak mengundi berasaskan jus soli
ii. penambahan ahli Majlis Undang Persekutuan yang mewakili padi, hidupan (haiwan) dan tanaman selain getah dan padi, serta mengurangkan wakil lombong dan getah. Dalam kata lain padi adalah wakil ekonomi Melayu, lombong (Cina) dan getah (Eropah).
iii. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya hendaklah dari luar Tanah Melayu dan tidak berkepentingan
iv. Bahasa rasmi Majlis Undang Persekutuan hendaklah bahasa Melayu. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk sementara waktu.

Walau bagaimanapun, dalam persidangan pada 11 Oktober 1953 itu, cadangan PAS tentang tegahan hak mengundi mengikut jus soli telah ditolak oleh National Convention. T.H Tan menjelaskan “every democratic government recognizes the principles of jus soli, which confers citizenship rights on those born in the country” . PAS sebaliknya mempunyai pendirian bahawa jus soli adalah “suatu dasar yang merugikan perjuangan kita (orang Melayu Islam) di Tanah Melayu ini” . Turut ditolak ialah cadangan PAS untuk menambahkan wakil sektor ekonomi Melayu iaitu padi, ternakan dan tanaman dan mengurangkan wakil ekonomi Cina (lombong) dan Eropah (ladang getah). Kecuali wakil PAS dan dua wakil PMS sahaja yang menyokong, kesemua 28 lagi wakil pelbagai pertubuhan termasuk Umno menolak cadangan PAS untuk meningkatkan pengaruh ekonomi Melayu. Kerana sikap National Convention yang dilihat merugikan umat Melayu Islam, PAS memutuskan untuk menarik diri daripada National Convention. Jawatankuasa Kerja Agung PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi menyertai National Convention pada 25 Disember 1953 kerana bertegas dengan cadangannya . Dalam Mesyuarat Agung PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, PAS membuat keputusan rasmi menarik diri daripada National Convention tetapi masih bersedia “menyokong mana-mana pertubuhan untuk kemerdekaan Malaya” .

Rombongan Pilihanraya Ke London 1954

Jawatankuasa Khas National Convention tentang pilihan raya yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1953 dan turut disertai oleh PAS telah merumuskan beberapa cadangan tentang pilihan raya. Antara cadangan penting dibuat dan disetujui oleh PAS ialah pertama, “pilihan raya kebangsaan mesti diadakan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Federal yang ditubuhkan menerusi pilihan raya itu hendaklah daripada ahli-ahli yang dipilih”; kedua, “pegawai kerajaan mesti jangan dilarang masuk bertanding dalam pilihan raya ini”; ketiga, “pilihan raya hendaklahlah menggunakan cara undi berdasarkan suara yang terbanyak …”; dan keempat, “pilihan raya Federal mesti diadakan selewat-lewatnya dalam bulan November 1954” . PAS menolak cadangan jawatankuasa ini berkaitan hak mengundi untuk rakyat berasaskan jus soli seperti orang yang tinggal lebih lima tahun di Tanah Melayu dan rakyat British yang lahir di Singapura yang telah lima tahun tinggal di Tanah Melayu. Pendirian PAS ini telah ditegaskan dalam National Convention pada 11 Oktober 1953.

Pada 1 April 1954, Tunku Abdul Rahman dan TH Tan telah mewakili National Convention ke Pejabat Tanah Jajahan di London untuk berbincang tentang pilihan raya. Sebenarnya, persetujuan untuk mengadakan pilihan raya telah dibuat pada 6 Mei 1953 apabila British dan Raja-raja Melayu bersetuju untuk menggubal undang-undang tentang pilihan raya. Kemudian pada 15 Julai 1953, Sir McGelivery mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Menyiasat soal pilihan raya. Jawatankuasa ini kemudian mengemukakan syor kepada Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pada 23 Jun 1954. Tunku Abdul Rahman mewakili National Convention mendesak supaya pilihan raya diadakan pada 1954, tetapi dipersetujui supaya tidak ada tarikh yang tetap bagi mengadakan pilihan raya ini. British bersetuju pilihan raya diadakan pada 15 Jun 1955 dengan 52 orang ahli dipilih. Walaupun PAS menolak beberapa aspek yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas tersebut, tetapi PAS menyokong kuat cadangan yang dibawa oleh rombongan Tunku Abdul Rahman untuk menuntut pilihan raya sebagai persediaan kemerdekaan, dan PAS disenaraikan sebagai salah satu parti yang menyokong cadangan pilihan raya ini.

This entry was posted in Gerakan Islam di Tanah Melayu, PAS, Sebelum merdeka, Selepas merdeka. Bookmark the permalink.

Leave a comment